subang_airport-2-800px
Sejarah

Terminal Satu Lapangan Terbang Subang Dibuka

01 Jun 1983 – Perkembangan pengangkutan udara negara telah berkembang pesat sejak dari pembukaan Lapangan Terbang Antarabangsa Subang pada 30 Ogos 1965. Sejak dari itu lapangan terbang negara sering diperbaiki dan dipertingkatkan mutu perkhidmatannya bagi menampung keperluan yang kian meningkat dari sehari ke sehari.

Pada 1 Jun 1983 Terminal Satu Lapangan Terbang Subang dibuka dengan rasminya. Terminal yang mempunyai rekabentuk yang menarik itu akan menyediakan kemudahan tertentu bagi memudahkan orang ramai yang menggunakannya kelak. Terminal satu lapangan terbang ini akan mula beroperasi pada jam 5.40 pagi pada hari ini dalam tahun 1983 dengan penerbangan pertamanya yang berlepas ke Kuching dan ketibaan pertamanya pula dari Kota Kinabalu pada kira-kira jam 8.05 pagi.

Pembinaan terminal satu lapangan terbang ini menelan belanja sebanyak RM120 juta dan telah siap dibina empat bulan lebih awal daripada yang dijangkakan. Sebelum Lapangan Terbang Antarabangsa Subang ini dibuka, perjalanan udara di Malaya ketika itu beroperasi di Lapangan Terbang Sungei Besi hinggalah pada tahun 1965 apabila ianya dipindahkan ke Subang.

subang airport poscard

Semasa di Subang lapangan terbang telah dapat beroperasi dengan lebih berkesan lagi dan pembukaan terminal satu pada hari ini ialah bagi menampung keperluan yang kian bertambah. Selepas itu terminal dua dan tiga pula dibuka bagi memenuhi keperluan yang lebih mendesak.

Pada 9 Mac 1996 nama Lapangan Terbang Antarabangsa Subang Kuala Lumpur telah ditukar kepada Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS). Terminal Satu Lapangan Terbang Subang terus menjadi pintu masuk utama penerbangan antarabangsa sehingga pada tahun 1998 apabila Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang mula dibuka dengan rasminya.

Walaupun begitu Lapangan Terbang Subang dan terminal satu tetap menjadi mercu tanda negara kerana telah banyak menyaksikan peristiwa-peristiwa penting dan bersejarah negara. Sementara Lapangan Terbang KLIA yang baru adalah bagi memenuhi keperluan semasa yang lebih mencabar.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard