tengku_kudin-800px
Sejarah

Tengku Kudin Meninggal Dunia

25 Mei 1909 – Pada tahun 1909, Tengku Dhiauddin Ibni Almarhum Sultan Zainal Abidin Halim Shah atau lebih dikenali sebagai Tengku Kudin meninggal dunia di Tanjung Kelawai, Pulau Pinang. Tengku Kudin yang berpendidikan Inggeris ini adalah adinda kepada Sultan Ahmad Tajuddin Mukarram Shah, Sultan Negeri Kedah.

Dalam tahun 1867, Tengku Kudin telah berkahwin dengan puteri Sultan Abdul Samad dari Selangor dan telah menetap di Langat. Berikutan itu Tengku Kudin telah dilantik sebagai wakil mutlak Sultan Abdul Samad untuk memerintah dan menjalankan pentadbiran bagi pihak Sultan. Keadaan ini telah menimbulkan ketidakpuasan hati di kalangan pembesar hingga membawa kepada Perang Kelang pada 1869.

Tengku Kudin

Tengku Kudin

Ketika menghadapi peperangan ini Tengku Kudin telah meminta bantuan daripada Gabenor Negeri-negeri Selat. Pada 22 Disember 1873, Tengku Kudin telah menulis surat kepada Gabenor Negeri-negeri Selat meminta seorang Residen bagi Kelang dan Selangor. Akhirnya pada 18 Jun1874, Sir Frank Swettenham telah dilantik sebagai Penolong Residen Selangor dengan itu bermulalah campur tangan secara langsung Inggeris di Selangor.

Tengku Kudin juga adalah orang yang pertama daripada kalangan Pembesar-pembesar Melayu yang bertanggungjawab terhadap perlaksanaan pentadbiran British di negeri Selangor apabila ia telah dilantik sebagai Presiden pertama bagi Majlis Mesyuarat negeri Selangor pada 18 April 1877.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard