prince_of_wales-800px
Sejarah

Kapal Prince Of Wales Dan Repulse Ditenggelamkan

10 Disember 1941 – Dua buah kapal perang Inggeris, Prince of Wales dan Repulse ditenggelamkan oleh pasukan kapal terbang pengebom Jepun di Laut China Selatan. Tenggelamnya kedua-dua buah kapal perang Inggeris ini bukan sahaja telah memalukan Inggeris, malahan juga telah menghancurkan pertahanan Inggeris di Tanah Melayu.

Oleh yang demikian tentera Jepun dengan mudah dan cepat telah dapat menawan negeri ini dan terus mara ke Singapura. Prince of Wales dan Repulse merupakan kapal perang terbesar kepunyaan Tentera Laut Inggeris.

HMS_Prince_of_Wales

Prince of Wales

Pada pertengahan bulan November 1941, Perdana Menteri British, Sir Winston Churchil telah bersetuju menghantar Prince of Wales dan Repulse ke Tanah Melayu bersama-sama empat buah kapal perang pembinasa. Tujuannya hanyalah sekadar menakut-nakutkan Jepun supaya tidak menyerang Tanah Melayu di samping cuba menyembunyikan kelemahan pertahanan Inggeris di negara ini kerana Britain pada masa itu terpaksa menumpukan perhatian bagi pertahanan di Eropah dan Timur Tengah.

Pada 2 Disember 1941, Prince of Wales dan Repulse dengan diiringi oleh keempat-empat kapal perang pembinasa tersebut tiba di Singapura. Ketibaan ini, dianggap sebagai satu sejarah kerana ia merupakan kali pertama sebuah angkatan kapal perang mendarat di Singapura. Lima hari kemudian, iaitu pada 8 Disember 1941, Jepun dengan secara mengejut telah menyerang dan menawan Kota Bharu Ialu terus menyusur ke selatan.

HMS_Repulse

Repulse

Di hari yang sama Prince of Wales dan Repulse bersama keempat-empat buah kapal pembinaan bertolak dari Singapura menuju ke Teluk Siam. Kapal-kapal ini dihantar untuk menggempur pusat tentera Jepun di Singgora, Siam. Malangnya pelayaran Prince of Wales dan Repulse itu telah dapat dikesan oleh pihak Jepun.

Apabila Inggeris mengetahui kedudukannya dalam bahaya, Prince of Wales dan Repulse terpaksa berpatah balik ke Singapura. Dalam pelayaran pulang kapal-kapal tersebut telah membelok ke Kuantan setelah pasukan kawalan ternampak kapal musuh berhampiran dengan pantai. Tepat jam 2.10 pagi, 10 Disember, sebanyak 85 buah kapal terbang pengebom Jepun telah menyerang Prince of Wales dan Repulse.

Kira-kira jam 1.20 petang kapal perang British yang teragung itu pun tenggelam di lautan, tidak jauh dari Kuantan. Dengan tenggelamnya kapal Prince of Wales dan Repulse itu hancurlah kegemilangan Tentera Laut British dan pertahanannya di Tanah Melayu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard