cobbolt_sarawak
Sejarah

Suruhanjaya Cobbold Tiba Di Kuching

19 Februari 1962 – Suruhanjaya Cobbold tiba di Kuching, Sarawak pada 19 Februari 1962 untuk meninjau pendapat dan reaksi rakyat Sabah dan Sarawak terhadap gagasan Malaysia. Ia adalah lanjutan terhadap tugas dan peranan yang telah ditetapkan semasa penubuhannya.

Suruhanjaya bebas ini dianggotai oleh lima orang dan dipengerusikan oleh Lord Cobbold. Empat orang lagi telah terpilih menganggotai Suruhanjaya Cobbold adalah dua wakil bagi kerajaan British iaitu Sir Anthony Abell dan Sir David Wetherston. Dua orang anggota lagi adalah wakil bagi kerajaan Persekutuan Tanah Melayu iaitu Encik Ghazali Shafie dan Dato Wong Pow Nee.

Tinjauan tersebut bermula pada bulan Februari dan tamat pada pertengahan bulan April 1962. Dalam jangkamasa itu mereka telah mengadakan lawatan ke 35 buah tempat di Sabah dan Sarawak. Suruhanjaya juga telah mengadakan 50 perjumpaan yang melibatkan lebih daripada 4000 orang. Sebanyak 2200 memorandum dan surat telah dikemukakan.

cobbold_jeselton

Hasil daripada tinjauan tersebut Suruhanjaya mendapati :

  • 1/3 daripada dua buah negeri ini menyokong penuh penggabungan tanpa syarat.
  • 1/3 lagi menyokong tetapi dengan syarat dan jaminan tertentu.
  • 1/3 lagi separuhnya mahukan kemerdekaan dahulu sebelum bergabung dan separuh lagi menentang kerana mahu kekal dalam pemerintahan british.

Laporan Suruhanjaya Cobbold telah dikemukakan kepada kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan British pada bulan Jun 1962. Penubuhan Suruhanjaya Cobbold telah membantu Kerajaan British dan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai kehendak penduduk di negeri Sabah dan Sarawak. Akhirnya pembentukan Malaysia telah berlangsung pada 16 September 1963.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard