gerald_templer-800px
Sejarah

Sir Gerald Templer Dilantik Sebagai Pesuruhjaya Tinggi Tanah Melayu

20 Februari 1952 – Fil Marsyal Tun Sir Gerald Walter Robert Templer S.M.N atau lebih dikenali sebagai Sir Gerald Templer telah dilantik menjadi Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1952. Beliau menggantikan Sir Henry Gurney yang terbunuh dalam serangan hendap pengganas komunis ketika dalam perjalanan ke Bukit Fraser pada 6 Oktober 1951.

gerald_templer

Semasa tempoh perkhidmatanya, beliau telah menyambung dan memperhebatkan lagi Rancangan Briggs yang dilancarkan oleh Sir Henry Gurney bersama pengarah operasinya, Sir Harold Rowdon Briggs untuk menentang komunis. Beliau menyedari bahawa penggunaan senjata semata-mata tidak akan berjaya menentang komunis. Oleh itu beliau telah melancarkan kempen ‘memenangi hati dan fikiran rakyat’

Beliau melancarkan skim insentif untuk memberi ganjaran kepada komunis yang menyerah diri dan juga kepada sesiapa yang menggalakkan pihak komunis untuk menyerahkan diri. Beliau telah juga menawarkan ganjaran yang besar kepada mereka yang berjaya menangkap atau membunuh komunis. Tawaran terhadap Chin Peng adalah sebanyak $250 000.

Chin_Peng_wanted_by_Malaya-800px

Beliau juga mengenakan perintah berkurung dan kawalan ketat ke atas bekalan makanan untuk memaksa pengganas komunis keluar dari persembunyian. Tanaman pengganas komunis yang dijumpai akan disembur dengan racun atau dimusnahkan supaya ia tidak dapat digunakan. Beliau juga telah mengisytiharkan kawasan putih dan kawasan hitam.

Di perkampungan-perkampungan baru beliau telah menubuhkan pasukan kawalan kampung dan mengadakan catuan makanan supaya penduduk di situ tidak diugut dan tidak dapat menolong pihak komunis. Beliau juga melancarkan perkhidmatan sosial dengan membina sekolah-sekolah rendah, hospital dan klinik-klinik rawatan terutamanya di kawasan-kawasan luar bandar.

Malayan_Emergency_Bren_Gun_flyer

Banyak publisiti dibuat melalui radio dan risalah-risalah yang disebarkan ke dalam hutan untuk menggalakkan pengganas-pengganas komunis menyerah diri. Sir Gerald Templer juga telah menggalakkan kegiatan-kegiatan kebudayaan dan tradisi rakyat Tanah Melayu dalam usaha menyatukan rakyat dan menimbulkan semangat bersatu.

Pada tahun 1954, Templer meninggalkan Tanah Melayu selepas komunis gagal merampas kuasa. Beliau telah digantikkan oleh Donald MacGilivray.

Sir Gerald Templer dikurniakan darjah kebesaran tertinggi Tanah Melayu, Seri Maharaja Mangku Negara (SMN) dengan gelaran Tun pada 1 Ogos 1960. Pada masa itu darjah ini terhad kepada 25 orang pemegang yang masih hidup. Hutan lipur Templer telah dinamakan sempena nama beliau sebagai penghormatan di atas jasa beliau di Malaysia.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard