sultan_ahmad_tajuddin-800px
Sejarah

Siam Menyerang Negeri Kedah

12 November 1821 – Pada tahun 1821, negeri Siam menyerang negeri Kedah dan mula mentadbir Kedah secara langsung selama 21 tahun. Kedudukan Kedah yang berhampiran dengan Segenting Kra yang begitu strategik telah menarik perhatian kuasa-kuasa asing. Segenting Kra ketika itu merupakan kawasan yang boleh menghubungkan Teluk Benggala dengan Teluk Siam.

Selain daripada itu negeri Kedah adalah sebuah kawasan pertanian dan perhutanan yang baik, dengan kesuburan sawah padi dan lada hitamnya. Kedah juga merupakan pusat pembinaan kapal-kapal perang dari kayu terpilih. Oleh itu tidak hairanlah pada abad ke 17 hinggalah ke abad ke 19 kerajaan Acheh, Burma dan Siam tertarik untuk menakluki Kedah.

Sultan Ahmad Tajuddin

Sultan Ahmad Tajuddin

Untuk mengekalkan kedaulatannya, Kedah terpaksa mengamalkan dasar luar negeri suaifaedah. Dengan dasar ini Kedah hanya akan menerima kewibawaan kuasa asing dengan menghantar bunga emas dan perak setiap tahun. Cara ini juga dapat menyelamat Kedah daripada diserang dan dijajah oleh kuasa-kuasa asing.

Peperangan selalu terjadi di antara dua musuh ketat iaitu Burma dengan Siam dan peperangan ini turut mengancam Kedah. Pada tahun 1818 satu lagi peperangan meletus di antara Burma dengan Siam. Angkatan tentera negeri Burma di bawah Alongpaya mula bergerak ke selatan menuju Kedah dan kawasan di Segenting Kra.

Untuk menghadapi peperangan ini Siam mendesak Kedah supaya menghantar 300 koyan dan 100 buah perahu yang lengkap. Permintaan ini ditolak oleh Sultan Ahmad Tajuddin. Oleh itu, pada bulan Februari 1821, negeri Siam telah mengerahkan 6,000 orang askar dan kapal perang melanggar Kedah.

Pada hari ini dalam tahun 1821, Kuala Kedah telah digempur oleh kapal perang dan seluruh negeri Kedah pula diserbu oleh askar-askar negeri Siam. lari menyelamatkan diri ke Pulau Pinang. Maka bermulalah pentadbiran Siam di Kedah untuk tempoh selama 21 tahun yang berakhir pada tahun 1842.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard