Caught_of_Rosli_Dhobi-800px
Sejarah

Serangan Ke Atas Gabenor Sarawak

03 Disember 1949 – Pada tahun 1949, tiga orang nasionalis Sarawak telah membuat percubaan membunuh Gabenor Inggeris, Sir Duncan Stewart. Percubaan dan serangan ke atas Gabenor Sarawak ini dilakukan oleh Rosli Dhoby, Morshidi Sidek dan Bujang Suntong yang menganggotai sebuah barisan yang dikenali sebagai Rukun Tigabelas. Serangan yang menyebabkan kematian Sir Duncan Stewart merupakan kemuncak perjuangan nasionalisme bumiputera Sarawak menentang penjajah Inggeris.

Jika di Semenanjung Tanah Melayu, orang-orang Melayu telah menentang gagasan Malayan Union, rakyat bumiputera Sarawak pula telah berjuang menentang pembentukan Sarawak sebagai ‘Crown Colony’ pada 8 Februari, 1945.

Sir Duncan Stewart

Sir Duncan Stewart

Seperti orang-orang Melayu di Semenanjung, rakyat bumiputera Sarawak juga mengambil tindakan segera dengan menubuhkan berbagai pertubuhan seperti Barisan Pemuda Sarawak, Pertubuhan Sarawak, United Sarawak Association (di Singapura), Pergerakan Pemuda Melayu, Sibu, dan beberapa pertubuhan lain, untuk menentang ‘Crown Colony’. Perjuangan rakyat bumiputera ini dikenali sebagai Gerakan Anti-Penyerahan ataupun ‘Anti Cession Movement’ iaitu perjuangan membantah keputusan Raja Charles Vyner Brooke menyerahkan Sarawak kepada kerajaan Inggeris untuk dijadikan ‘Crown Colony’.

Sejak tahun 1946 hinggalah ke tahun 1949, rakyat bumiputera menentang penjajahan Inggeris secara aman dan mengikut perlembagaan seperti mengadakan demonstrasi dan menghantar kawat kepada raja dan pemimpin-pemimpin Inggeris. Dalam bulan Disember 1946, seramai 400 orang kakitangan kerajaan terdiri dari orang-orang Melayu dan Dayak telah meletakkan jawatan beramai-ramai bila kerajaan mengeluarkan Pekeliling No. 9 yang mengharamkan Kegiatan Anti-Penyerahan. Akibatnya semua sekolah-sekolah Melayu dan Maktab Perguruan Melayu Sarawak terpaksa ditutup kerana ketiadaan guru.

Rosli Dhoby

Rosli Dhoby

Memandangkan bahawa perjuangan Anti-Penyerahan mula merosot dan kerajaan mula mengambil tindakan keras, maka Pergerakan Pemuda Melayu di Sibu telah menubuhkan sebuah kumpulan sulit yang dinamakan Rukun Tigabelas. Kumpulan sulit ini mempunyai 13 orang ahli yang diketuai oleh Awang Rambli. Mereka bersumpah untuk menghapuskan semua pegawai Inggeris dan Dato-dato Melayu yang menyokong penyerahan Sarawak kepada kerajaan British.

Di atas sumpahan ini maka pada hari ini dalam tahun 1949, Rosli Dhoby yang menyamar sebagai seorang murid sekolah, telah menikam Gabenor dengan sebilah pisau. Tikaman tersebut menyebabkan Gabenor Sir Duncan Stewart cedera parah dan terpaksa diterbangkan ke Singapura untuk rawatan segera. Malangnya beliau telah meninggal dunia pada 10 Disember.

Berikutan itu Rosli Dhoby, Morshidi Sidek dan Bujang Suntong telah ditangkap dan dalam bulan Mac 1950 ketiga-tiga mereka telah dihukum gantung sampai mati. Anggota Rukun Tigabelas yang lain telah dijatuhkan hukuman penjara.

Walaupun perjuangan kemerdekaan di Sarawak gagal, namun serangan ke atas Gabenor Sarawak yang menyebabkan kematian Gabenor Sir Duncan Stewart telah menggemparkan Empayar Inggeris dan seluruh dunia di samping menyemarakkan lagi semangat nasionalisme di Sarawak.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard