1st_Batalion-Rejimen-Persekutuan-800px
Sejarah

Rang Undang-Undang Rejimen Persekutuan Diluluskan

03 Julai 1952 – Pada tahun 1952, satu Rang Undang-Undang Rejimen Persekutuan telah diluluskan oleh Majlis Perundangan Persekutuan. Rang Undang-undang Rejimen Persekutuan ini bertujuan untuk memperbesarkan angkatan tentera bagi memenuhi keperluan keselamatan negara yang pada ketika itu sedang menghadapi darurat serta menjamin kedaulatan negara apabila merdeka kelak.

Jeneral Sir Gerald Templer, Pesuruhjaya Tinggi, merangkap Pengarah Gerakan Persekutuan telah mencadangkan agar sebuah pasukan pertahanan berbilang kaum ditubuhkan. Pada ketika itu, hanya terdapat sebuah pasukan sahaja iaitu Rejimen Askar Melayu yang keanggotaannya terdiri daripada anak watan berkhidmat berjuang menentang ancaman komunis.

Berikutan daripada itu, pada September 1952 dua buah pasukan yang terdiri daripada anggota berbilang bangsa telah ditubuhkan, iaitu Batalion Pertama Rejimen Persekutuan dan Skuadron Kereta Perisai Persekutuan. Pada Januari 1960, kedua-dua rejimen telah dicantumkan dengan membawa gelaran sebagai Askar Peninjau.

Sesungguhnya, anggota keselamatan telah memainkan peranan penting dalam perjuangan menentang ancaman komunis demi mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan negara.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard