jata_johor-800px
Sejarah

Raja Kecil Meminta Bantuan Belanda

04 Disember 1717 – Pada tahun 1717, Raja Kecil meminta bantuan Belanda untuk merampas semula takhta Kerajaan Negeri Johor. Raja kecil seorang Ketua Minangkabau yang menetap di Bengkalis telah menulis surat kepada pihak Belanda di Melaka menyatakan bahawa dirinya adalah anak kepada Sultan Mahmud Shah (Raja Mangkat dijulang).

Bagi membuktikan bahawa baginda adalah waris yang sah dan berhak menaiki takhta Kerajaan Johor, Raja Kecil merancang untuk menyerang Johor. Oleh kerana itu baginda telah menulis surat meminta pihak Belanda di Melaka membantunya. Berita yang disampaikan oleh Raja Kecil itu telah menimbulkan keraguan pihak Belanda.

Ini disebabkan pada ketika Sultan Mahmud Shah mati dibunuh dalam tahun 1699, baginda tidak meninggalkan anak lelaki sebagai waris kerajaan. Oleh kerana itu pihak Belanda enggan membantu Raja Kecil. Tambahan pula pada ketika itu Belanda mengamalkan polisi tidak mahu campurtangan dalam hal-hal berkaitan negeri-negeri Melayu.

Keengganan Belanda membantu Raja Kecil untuk menyerang Johor telah menambahkan lagi keretakkan hubungan antara Belanda di Melaka dengan orang-orang Minangkabau. Sebelum ini pemerintah Belanda di Melaka telah menerima dua pucuk surat dari pemerintah Minangkabau di Pagar Ruyong. Kedua-dua surat itu meminta bantuan pihak Belanda mendapatkan semula barang-barang dan orang-orang Sultan Mahmud Shah yang telah ditawan dan dibawa oleh orang-orang Bugis ke Bengkalis. Sekiranya pihak Belanda enggan memberi bantuan pemerintahan Minangkabau di Pagar Ruyong bersedia untuk memutuskan hubungan dengan pihak Belanda.

Walaupun pihak Belanda enggan membantu orang-orang Minangkabau menyerang Johor, namun rancangan itu masih diteruskan atas alasan untuk membalas dendam kematian Sultan Mahmud Shah. Maka dalam tahun 1718 meletuslah peperangan antara orang-orang Minangkabau dengan Johor. Pada 21 Mac 1718, Raja Kecil menawan Panchor. Raja Kecil melantik sendiri dirinya sebagai Yang Dipertuan Johor dan bergelar Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard