pilihanraya_1969-800px
Sejarah

Pilihanraya Pertama Negeri Sabah

27 April 1967 – Pilihanraya pertama negeri Sabah telah diadakan pada 27 April 1967. Sebelum ini Sabah telah ditadbir oleh Kerajaan Perikatan Sabah semenjak merdeka di dalam Malaysia. Terdapat 32 buah kawasan mengundi dengan 192,448 orang pengundi, 36 orang calon dari empat buah parti politik dan 26 orang calon bebas telah bertanding untuk memenangi 32 buah kerusi yang dipertandingkan.

Hari penamaan calon telah diadakan pada 8hb Mach 1967 dan dua orang calon dari Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) telah menang tanpa bertanding, manakala 30 buah kerusi lagi dipertandingkan di hari mengundi. Pengundian berjalan dengan teratur tanpa sebarang peristiwa yang tidak menyenangkan berlaku.

Satu peristiwa yang menarik dalam Pilihanraya pertama negeri Sabah ini adalah kehadiran 15 orang pegawai pemerhati dari lima buah negara Asia iaitu Sri Langka (Ceylon), India, Indonesia, Jepun dan Thailand. Kehadiran mereka diundang khas oleh Kerajaan Malaysia untuk menyaksikan Pilihanraya Umum yang pertama di Sabah selama 10 hari.

Para pemerhati ini telah dibawa ke 60 buah pusat mengundi dan dibenarkan menemu ramah kepada mana-mana pemimpin parti. Pada keseluruhannya mereka berpuas hati terhadap pengundian yang dijalankan dalam cara yang sungguh demokratis.

Keputusan terakhir dalam Pilihanraya ini adalah seperti berkut:

  • Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) – 14 buah kerusi
  • Pertubuhan Pasok Memogun-Kadazan Bersatu (UPKO) – 12 buah kerusi
  • Persatuan China Sabah (SCA) – 5 buah kerusi
  • Bebas – 1 buah kerusi

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard