durbar_pertama-800px
Sejarah

Persidangan Raja-Raja Melayu (DURBAR) Di Seri Menanti, Negeri Sembilan

18 Ogos 1931 – Pada tahun 1931, Persidangan Raja-raja atau Durbar telah berlangsung di Istana Sri Menanti, Negeri Sembilan. Persidangan kali ini telah dihadiri oleh keempat-empat Raja Melayu dan empat orang Residen British serta Ketua Setiausaha.

Persidangan Raja-Raja Melayu (DURBAR) Di Seri Menanti ini telah dirasmikan oleh Pesuruhjaya Tinggi British bagi Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Sir Cecil Clementi Smith.

Beliau dalam ucapannya telah mengemukakan cadangan konsep Desentralisasi supaya negeri-negeri Melayu Bersekutu dibubarkan dan dibentuk kesatuan semua negeri-negeri Melayu.

Bagi beliau, pembentukan persekutuan pada tahun 1896 telah membawa kepada pemusatan kuasa yang berlebihan kepada Residen Jeneral di Kuala Lumpur.

Secara tidak langsung kuasa Sultan-sultan telah hilang kecuali dalam hal-hal agama dan adat resam sahaja. Begitu juga dengan kuasa Majlis Mesyuarat Negeri.

Keadaan ini telah menimbulkan bangkangan dan kegelisahan di kalangan Sultan-sultan dan Pembesar-pembesar Melayu, seperti yang telah dikemukakan oleh Sultan Perak di Persidangan Raja-raja pada tahun 1903.

Percubaan ke arah merombak sistem pemusatan kuasa yang ada di Negeri-negeri Melayu mula dilakukan pada tahun 1904 oleh Sir John Anderson. Kemudian diikuti oleh Sir Lawrence Guillemard pada tahun 1927.

Kedua-dua usaha ini terpaksa dibatalkan sehingga ia dicadangkan semula oleh Sir Cecil Clementi.

Selain cadangan Desentralisasi, Sir Cecil Clementi juga telah mengemukakan beberapa perubahan lain seperti memberi kuasa kepada tiap-tiap negeri mentadbir sendiri semua jabatan kecuali Jabatan Kereta Api, Pos dan Kastam.

Satu lembaga adalah dicadangkan bagi setiap jabatan tersebut. Beliau juga mencadangkan supaya jawatan Ketua Setiausaha dimansuhkan.

Cadangan ini telah mendapat tentangan dari pihak Negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu tidak Bersekutu. Tentangan dan bantahan terhadap cadangan Sir Cecil Clementi itu telah menimbulkan satu masalah.

Oleh itu kerajaan Inggeris telah melantik Brigedier Jeneral Sir Samuel Wilson, Setiausaha Tetap di Pejabat Tanah Jajahan supaya mengkaji keadaan di Tanah Melayu dan membuat perbincangan dengan Sir Cecil Clementi.

Hasilnya satu persetujuan mengenai cadangan Sir Cecil Clementi telah dicapai dan dalam tahun 1933, kerajaan Inggeris telah menerima laporan Wilson itu.

Berdasarkan laporan ini beberapa perubahan ke arah perkembangan Persekutuan telah dibuat dalam tahun 1939 dan kekal sehingga tahun 1941.

Mana-mana kuasa yang pernah dipegang oleh kerajaan pusat telah diserahkan kembali kepada pentadbiran kerajaan negeri.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard