Perjanjian_Persekutuan-800px
Sejarah

Persidangan Pertama Majlis Raja-Raja Melayu

18 Februari 1948 – Persidangan pertama Majlis Raja-raja Melayu diadakan selepas Perjanjian Persekutuan ditandatangani pada 18 Februari 1948. Persidangan ini diadakan di Dewan Majlis Perundangan Persekutuan, Kuala Lumpur. Persidangan ini dihadiri oleh semua Sembilan orang Raja-Raja Melayu.

Persidangan ini telah dirasmikan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Abu Bakar. Baginda yang juga dilantik sebagai pengurusi telah diberi penghormatan untuk memeriksa perbarisan kawalan kehormatan yang terdiri daripada 106 orang pegawai dan anggota askar Melayu dari Batalion kedua.

Sejarah Majlis Raja-raja

Majlis Raja-raja ditubuhkan pada tahun 1948 sebagai menggantikan Mesyuarat Raja-raja Negeri-negeri Bersekutu yang dikenali sebagai Majlis Raja-raja Melayu (Durbar). Durbar ditubuhkan pada 1 Julai 1896 dan mesyuarat pertamanya diadakan di Kuala Kangsar pada tahun 13 Julai 1897 di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak. Majlis ini dianggotai oleh empat orang Raja dari Negeri Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang.

Nama Durbar diambil dari perkataan Urdu-Parsi (Darbar) yang membawa maksud istana raja. Durbar juga membawa maksud perjumpaan atau persidangan umum yang diadakan oleh Raja Negeri berkenaan, ataupun Gabenor atau Wizurai British. Tujuan mesyuarat ini diadakan adalah untuk mengeratkan lagi tali persahabatan antara Raja-raja dengan pihak British.

durbar pertama

Raja-raja Melayu yang hadir dalam mesyuarat Durbar tersebut ialah DYMM Sultan Idris Murshidul Aadzam Shah (Negeri Perak), DYMM Sultan Abdul Samad (Negeri Selangor), DYMM Tuanku Muhammad (Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan), dan DYMM Sultan Ahmad (Negeri Pahang).

British pula diwakili oleh Sir Charles Mitchell, Gabenor Negeri-Negeri Selat dan Pesuruhjaya Tinggi Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Sir Frank Swettenham, Residen Jeneral Negeri-Negeri Melayu Bersekutu, Hugh Clifford, Residen Inggeris di Pahang, J.P Rodgers, Residen Inggeris di Selangor dan W.H. Treacher, Residen Inggeris di Perak. Mesyuarat Durbar telah diadakan sebanyak 9 kali sehingga tahun 1939.

Majlis Raja-raja Selepas Merdeka

Di antara Februari 1948 hingga Ogos 1957 mesyuarat Majlis Raja-Raja telah diadakan sebanyak 50 kali. Selepas Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, Melaka dan Pulau Pinang telah menjadi ahli dan ini diikuti oleh Sabah, Sarawak dan Singapura (1963-1965) apabila Malaysia ditubuhkan pada tahun 1963.

Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang pertama selepas merdeka telah diadakan pada 30 Oktober 1957 dan dipengerusikan oleh Raja Perlis, DYMM Sultan Syed Putra ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard