Rombongan_Merdeka_London_800
Sejarah

Persidangan Malaya Merdeka Di London

18 Januari 1956 – Satu persidangan yang dinamakan Persidangan Malaya Merdeka bagi menuntut kemerdekaan bagi Tanah Melayu telah diadakan di Lancaster House, London. Persidangan Meja Bulat ini dihadiri oleh wakil-wakil kerajaan Perikatan dan wakil-wakil Raja Melayu dengan pegawai-pegawai dari Pejabat Tanah Jajahan British.

Persidangan yang berlangsung pada 18 Januari hingga 6 Februari 1956 yang mengambil masa selama 3 minggu membincangkan masalah-masalah seperti :-

  • Malaya akan merdeka dalam lingkungan ‘British Komanwel’,
  • Hal ehwal kewangan, pentadbiran, keselamatan dalam negeri, pertahanan dan hal ehwal luar negeri akan dipegang oleh menteri-menteri Persekutuan Tanah Melayu,
  • Penubuhan Jawatankuasa Bebas Kemerdekaan untuk mengkaji dan menyarankan perubahan dalam perlembagaan dengan tidak mengubah kedudukan istimewa Raja-Raja Melayu.

Wakil Persidangan Malaya Merdeka

Rombongan menuntut kemerdekaan Malaya ini diketuai oleh Y.T.M. Tunku Abdul Rahman dengan wakil-wakil dari Rakyat Malaya terdiri dari :

  • Dato’ Abdul Razak bin Hussein,
  • Dr, Ismail Abdul Rahman,
  • Kolonel H.S.Lee,
  • Tuan T.H. Tan,
  • Bahaman Shamsudin.

Wakil-wakil dari Raja-Raja Melayu pula terdiri dari :

  • Dato’ Panglima Bukit Gantang Haji Abdul Wahab bin Toh Muda Abdul Aziz (wakil Sultan Perak),
  • Dato’ Nik Ahmad Kamil (wakil Sultan Kelantan),
  • Encik Abdul Aziz Majid (wakil Sultan Selangor),
  • Dato’ Mohd. Seth Mohd. Said (wakil Sultan Johor).

Perjanjian London

Hasil daripada Persidangan Malaya Merdeka tersebut, Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu yang juga dikenali sebagai Perjanjian London telah ditandatangani pada 8 Februari 1956 di Lancaster House, London. Perjanjian ini ditandatangani di antara YTM Tunku Abdul Rahman Putra, Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu bagi pihak kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dengan Mr. Alan Lennox-Boyd, Setiausaha Negara Tanah jajahan British bagi pihak Kerajaan British.

perjanjian_kemerdekaan

Selain daripada perwakilan daripada Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, perwakilan daripada Kerajaan British yang turut serta pada upacara ini ialah :

  • Mr. John Hore, Menteri Negara;
  • Sir Donald MacGillivray, Pesuruhjaya Tinggi British bagi Persekutuan Tanah Melayu;
  • Mr. David Watherston, Ketua Setiausaha Persekutuan Tanah Melayu;
  • Mr. Oscar Spencer, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Persekutuan Tanah Melayu.

Butiran Rundingan

Beberapa perkara penting telah dipersetujui di dalam rundingan tersebut iaitu:

  • Tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu ditetapkan pada 31 Ogos 1957.
  • Institusi raja berpelembagaan dikekalkan.
  • Pembahagian kuasa antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri diteruskan.
  • Pelantikan sebuah suruhanjaya bebas untuk menggubal perlembagaan merdeka.
  • Parti Perikatan tidak akan mengambil alih perniagaan British atau kepentingan Barat di Tanah Melayu.
  • Satu perjanjian dengan British akan ditandatangani bagi menjaga keselamatan Tanah Melayu dan juga menjaga kepentingan ekonomi British di Tanah Melayu.

Pengistiharan Tarikh Kemerdekaan

Pada 20 Februari 1956, Rombongan Merdeka telah selamat kembali ke Tanah Melayu. Kepulangan mereka telah disambut dengan meriah dalam satu perhimpunan besar-besaran yang telah diadakan Padang Merdeka, Banda Hilir di Melaka. Tunku Abdul Rahman Putra kemudiannya telah mengisytiharkan tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.

kepulangan_ytm_tunku_abdul_rahman

Susulan daripada itu juga pada 21 Mac 1956, sebuah suruhanjaya bebas yang dikenali sebagai Suruhanjaya Reid telah dibentuk untuk mengkaji dan menggubal Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu sebagai persediaan mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard