royal-malaysia-air-force-800px
Sejarah

Rancangan Baharu Pengunduran Tentera Britain Dari Malaysia

08 Januari 1968 – Pada tahun 1968, Malaysia dan Britain telah mencapai persetujuan mengenai rancangan baru pengunduran tentera Britain dari kawasan ini. Kenyataan ini telah diberitahu oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman dalam perundingannya dengan Setiausaha Komanwel, Tuan George Thomson.

George_Thomson_1966

Walaupun Tunku tidak menyebut rancangan-rancangan baru yang telah dipersetujui itu tapi adalah difahami bahawa pengunduran tentera Britain itu berkait rapat dari kemerosotan ekonomi yang dialami oleh Britain. Setiausaha Komanwel itu pula telah memberi jaminan bahawa Britain tidak berniat hendak membelakangkan Malaysia ataupun negara-negara Komanwel lain. Tetapi disebabkan Britain sedang berusaha memperbaiki ekonominya maka adalah rumit baginya untuk menempatkan tenteranya di luar negeri.

700_royal-malaysia-air-force

Perundingan

Walaupun Malaysia dan Britain telah membuat perjanjian keluar tentera Britain dari Malaysia pada 20 Mac 1965, tetapi sehingga hari ini pengunduran tentera Britain telah dilakukan secara berperingkat-peringkat. Kemudiannya Tuan Thomson juga telah berunding dengan Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak, Menteri Kewangan, Tun Tan Siew Sin dan Menteri Pelajaran, Encik Mohamed Khir Johari. Tun Abdul Razak telah memberitahu bahawa Malaysia memandang berat rancangan baru Britain itu kerana Malaysia mempunyai perjanjian Pertahanan dengan Britain iaitu pada 3 Oktober 1957.

Bagaimanapun, dengan pengunduran tentera British ini maka pada 10 Jun 1968, satu persidangan pertahanan lima negara yang terdiri dari Malaysia, Singapura, Australia, New Zealand dan Britain telah diadakan. Tujuan persidangan ini ialah untuk membincangkan pertahanan Malaysia dan Singapura bagi menghadapi sebarang pencerobohan dari luar setelah pengunduran tentera Britain di rantau ini.

Dengan persetujuan yang telah tercapai mengenai rancangan baru pengunduran Britain dari Malaysia pada hari ini dalam tahun 1968, keselamatan Malaysia tetap terjamin setelah bekerjasama dengan negara sahabat seperti Indonesia dan Thailand.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard