kemerdekaan_malaysia
Sejarah

Persekutuan Tanah Melayu Ditubuhkan

01 Februari 1948 – Penubuhan Persekutuan Tanah Melayu ini merupakan kejayaan orang-orang Melayu yang menuntut Malayan Union dihapuskan dan mengembalikan semula kedaulatan Raja-raja Melayu. Ia ditubuhkan pada 1 Februari 1948 oleh sembilan buah Negeri-Negeri Melayu dan dua penempatan British Pulau Pinang dan Melaka.

Perjanjian Persekutuan telah digubal sejak Jun-Disember 1946. Di akhir mesyuarat tersebut telah menghasilkan apa yang dikenali sebagai Blue Book setebal 100 muka surat.

Antara 1946 – 1948, 11 negeri ini membentuk tanah jajahan British yang dipanggil Malayan Union. Disebabkan bantahan orang Melayu yang dipimpin oleh Dato Onn Jaafar, Malayan Union dibubarkan dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu, yang mengembalikan kedudukan simbolik raja-raja Melayu. Malayan Union dibubarkan secara rasmi pada 21 Januari 1948.

Carcosa_Seri_Negara

King House kini dikenali sebagai Carcosa Seri Negara.

Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu

Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu telah ditandatangani pada 21 Januari 1948 di King House dan diumumkan oleh kerajaan British . Perjanjian ini ditandatangani oleh Raja-Raja Melayu, dan Sir Edward Gent, sebagai wakil Kerajaan British . Perjanjian ini adalah sebagai persediaan ke arah penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948. Perjanjian ini penting kerana ia memansuhkan Malayan Union dan menyatukan negeri-negeri Melayu dalam sebuah Persekutuan untuk pertama kali. Kedudukan Raja-Raja Melayu juga telah dikembalikan.

Dalam Perjanjian Persekutuan ini, walaupun negeri-negeri Melayu menjadi negeri naungan British, Pulau Pinang dan Melaka kekal menjadi tanah jajahan. Seperti Malayan Union, persekutuan ini tidak dianggotai Singapura, yang sebelum ini dianggap sebagai sebahagian dari Malaya.

Ahli Persekutuan Tanah Melayu :

  • Perlis
  • Kedah
  • Pulau Pinang
  • Perak
  • Selangor
  • Negeri Sembilan
  • Melaka
  • Johor
  • Pahang
  • Terengganu
  • Kelantan

Sistem kerajaan

Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu ini diketuai oleh Pesuruhjaya Tinggi British yang mempunyai kuasa-kuasa eksekutif dengan dibantu dan dinasihati oleh Majlis Mesyuarat Kerja Persekutuan Tanah Melayu dan Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan Tanah Melayu.

Majlis Mesyuarat Kerja Persekutuan mengandungi 7 orang ahli rasmi dan 7 orang ahli tidak rasmi.

Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan pula mengandungi Pesuruhjaya Tinggi sebagai Presiden Majlis, 14 orang ahli rasmi serta 50 orang ahli tidak rasmi yang mewakili Negeri-negeri Selat, golongan peniaga dan semua kaum.

Selain daripada itu 9 orang Yang Di Pertua Majlis Mesyuarat Negeri, (Menteri Besar) dan 2 orang wakil dari Negeri-negeri Selat menjadi ahli tidak rasmi.

Majlis Raja-Raja Melayu akan menasihatkan Pesuruhjaya Tinggi mengenai dasar imigresen.Residen British digantikan dengan seorang Menteri Besar di tiap-tiap negeri dalam Persekutuan.

Syarat kerakyatan

Syarat-syarat Kerakyatan di bawah Persekutuan Tanah Melayu ini diperketatkan lagi melalui penguatkuasaan undang-undang dan naturalisasi secara memohon. Mengikut undang-undang ini, mereka yang berikut secara automatik boleh menjadi warganegara;

  1. Rakyat kepada Sultan pada mana-mana negeri.
  2. Rakyat British yang dilahirkan di Pulau Pinang atau Melaka dan telah tinggal dalam Persekutuan berterusan selama 15 tahun.
  3. Rakyat British yang dilahirkan di Persekutuan dan bapanya dilahirkan di Persekutuan atau tinggal berterusan selama 15 tahun.
  4. Sesiapa juga yang dilahirkan di Persekutuan dan bertutur dalam bahasa Melayu serta mengikut adat istiadat Melayu dalam kehidupan harian.
  5. Sesiapa juga yang dilahirkan di Persekutuan Tanah Melayu di mana kedua ibubapanya dilahirkan serta telah tinggal berterusan selama 15 tahun.

Melalui proses naturalisasi (secara memohon) pula seseorang itu boleh menjadi warganegara sekiranya;

  1. Dilahirkan di Persekutuan Tanah Melayu dan telah tinggal sekurang-kurangnya selama 8 tahun daripada 12 tahun di Persekutuan Tanah Melayu sebelum permohonan dibuat dan
  2. Telah tinggal di Persekutuan Tanah Melayu selama 15 tahun daripada 20 tahun sebelum ia membuat permohonan.

Dalam kedua-dua perkara itu (melalui proses naturalisasi) pemohon- pemohon mestilah berkelakuan baik, bersumpah taat-setia dan menjelaskan tujuannya hendak menetap di Persekutuan Tanah Melayu, mengetahui bahasa Melayu dengan baik atau bahasa Inggeris dengan baik.

Persekutuan Tanah Melayu melalui perlembagaannya menjamin hak-hak dan kedudukan istimewa orang-orang Melayu serta hak, kuasa dan kedaulatan Raja-Raja Melayu di negeri masing-masing.

Pembahagian Kuasa Kerajaan Persekutuan Dan Kerajaan Negeri

Perjanjian Persekutuan menetapkan kuasa-kuasa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Hal ehwal kewangan mestilah dikendalikan oleh negeri masing-masing. DYMM Sultan diberikan kuasa penuh ke atas hal-hal agama dan adat istiadat Melayu. Masalah luar negeri dan pertahanan pula masih dipegang oleh Kerajaan British.

Perjanjian Persekutuan telah dijadikan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dan diisytiharkan dengan rasminya pada 1 Februari 1948. Dewan Perundangan Persekutuan Tanah Melayu mengadakan persidangan pertama di Dewan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur pada 18 Januari 1948. Persidangan Raja-raja Persekutuan Tanah Melayu juga turut diadakan pada hari yang sama.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard