Sultan-Abdul-Samad-Building-800px

Perletakan Batu Asas Bangunan Sultan Abdul Samad

6 Oktober 1894 – Pada tahun 1894, telah berlangsung upacara perletakan batu asas bangunan Bangunan Sultan Abdul Samad yang merupakan bangunan Pejabat-pejabat Kerajaan Negeri Selangor pada ketika itu. Upacara tersebut telah dilakukan oleh Gabenor Negeri-negeri Selat, Sir Charles B.H. Mitchell. Pada tahun 1893, kerajaan Inggeris di negeri Selangor telah mula merancang usaha untuk mendirikan sebuah bangunan kerajaan sebagai pusat pentadbirannya.

Tapak yang sesuai telah dipilih iaitu sebuah kawasan seluas 1.034 hektar, berhampiran dengan pertemuan antara Sungai Gombak dan Sungai Kelang, di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur. Jurutera Negeri Selangor C.E. Spooner telah ditugaskan melukis pelan bangunan tersebut. Bagaimanapun beberapa cadangannya di dalam pelan itu telah ditolak.

banggunan sultan abdul samad

Seorang arkitek Inggeris di Jabatan Kerja Raya Kuala Lumpur, A.C. Norman, telah diminta meneruskan tugas Encik Spooner, berdasarkan rekabentuk yang asal. Setelah reka bentuknya dipersetujui, maka pada hari ini dalam tahun 1894, berlangsunglah upacara perletakan batu asas bangunan ini.

Bangunan Sultan Abdul Samad dibina dengan harga $152 ribu dolar selat dan pembinaannya mengambil masa hampir tiga tahun yang bermula pada September 1894 dan siap pada tahun 1897. la dinamakan Bangunan Sultan Abdul Samad sebagai mengambil sempena nama DYMM Sultan Selangor, Sultan Abdul Samad yang memerintah ketika itu.

Bangunan Sultan Abdul Samad 1902
Bangunan Sultan Abdul Samad 1902

Bangunan ini banyak dipengaruhi oleh reka bentuk seni bina Islam. Kubah bersalut tembaga dan diwarnakan hitam itu menyerupai kubah Taj Mahal di India. Tingkap dan pintu pula berbentuk melengkung, seperti masjid-masjid di Cordova dan Mesir. Menara jamnya setinggi 40.6 meter dan diapit oleh kubah kecil, menghasilkan pemandangan yang menarik.

Penggunaan Bangunan Sultan Abdul Samad

Sejak dibuka, Bangunan Sultan Abdul Samad ini telah dijadikan pusat pentadbiran Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Pejabat Residen-General dan Pejabat Besar Pos. Apabila negara mencapai kemerdekaan, ia dijadikan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Majlis Mesyuarat Negeri dan Perbendaharaan Kerajaan. Kini, ia dijadikan bangunan kehakiman yang menempatkan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Agung.

banggunan sultan abd samad

Peranannya berubah-ubah mengikut arus masa. Di hadapan bangunan inilah rakyat meraikan saat-saat kebebasan dari cengkaman penjajah buat kali pertama. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, upacara sambutan Hari Kemerdekaan berlangsung di hadapan bangunan Sultan Abdul Samad menjadi mercu tanda istimewa bagi Kuala Lumpur kerana keindahan rekabentuk dan kedudukannya.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Baca Juga:

Tinggalkan Komen

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.