regimental_combat_team-800px
Sejarah

Perjanjian Di Antara Sultan Kedah Dengan Jepun

19 Disember 1941 – Pada tahun 1941, Baginda Sultan Kedah, DYMM Tuanku Abdul Hamid Halim Shah iaitu Sultan Kedah yang ke 25 telah menandatangani satu perjanjian dengan pihak Jepun di Kulim, Kedah. Perjanjian di antara Sultan Kedah dengan Jepun ini dibuat berikutan kejatuhan negeri Kedah ke tangan Jepun. Tentera Jepun mula bergerak ke negeri Kedah pada 8 Disember 1941 apabila mereka mendarat di Alor Setar dan mengebom Lapangan Terbang Sungai Petani.

Serangan Jepun di Alor Setar itu telah menyebabkan Baginda Sultan dan pihak kerajaan berpindah ke Kulim. Apabila keseluruhan Negeri Kedah telah ditakluki, maka Kedah terpaksa mengadakan satu perjanjian dengan pihak Jepun. Menurut perjanjian tersebut, pihak Jepun mengakui Sultan Abdul Hamid Halim Shah sebagai raja Negeri Kedah, tetapi pihak Jepun adalah pemegang kuasa dan semua arahan Jepun mesti dipatuhi.

sultan_abdul_hamid_kedah

Tuanku Abdul Hamid Halim Shah

Sesudah perjanjian itu ditandatangani, Baginda Sultan yang ketika itu dalam keadaan gering dan dibawa balik ke Alor Setar. Baginda diiringi oleh anakandanya Tunku Abdul Rahman Putra dan disertai oleh Tunku Badlishah, Raja Muda. Pada masa yang sama semua pegawai Kanan Melayu Kedah yang menjawat jawatan semasa pemerintahan British juga dibenarkan kembali ke jawatan masing-masing.

Dengan perjanjian yang ditandatangani di antara Sultan Kedah dan Gabenor Jepun pada hari ini dalam tahun 1941, maka bermulalah detik pemerintahan Tentera Jepun di Negeri Kedah.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard