Map_of_the_city_of_Malakka-800px
Sejarah

Perjanjian Persahabatan Johor-Riau-Belanda

26 November 1818 – Pada tahun 1818, satu perjanjian persahabatan telah ditandatangani di antara Sultan Johor-Riau-Lingga-Pahang Sultan Abdul Rahman dan Yamtuan Muda Raja Jaafar, dengan Laksamana Wolterback bagi pihak pemerintah Belanda di Melaka.

Perjanjian Persahabatan Johor-Riau-Belanda ini adalah sebagai membaharui perhubungan persahabatan yang telah terjalin di antara kedua-dua kerajaan sebelum Melaka diserahkan kembali oleh Inggeris kepada Belanda. Dengan perjanjian ini juga kerajaan Belanda mengakui bahawa Sultan Abdul Rahman sebagai Sultan bagi kerajaan Johor-Riau-Lingga dan Pahang.

Perjanjian persahabatan ini dibuat setelah Inggeris, melalui wakilnya William Farquhar memberitahu Sultan Abdul Rahman kononnya Belanda akan datang menyerang dan mungkin akan mengambil Riau dan Lingga. Farquhar yang menemui Sultan Abdul Rahman dalam bulan Julai 1818, menyuruh Sultan bersiap sedia dan berjanji bahawa Inggeris akan membantu.

Sultan Abdul Rahman menyerahkan perkara itu kepada Yamtuan Muda Raja Jaafar. Farquhar telah memujuk Raja Jaafar supaya membuat perjanjian dengan Inggeris. Perjanjian itu telah dimeteraikan pada 19 Ogos 1818 dan antara kandungannya ialah menetapkan bahawa hanya Inggeris yang berhak menguasai hasil dagangan dalam daerah kekuasaan Sultan Johor.

Dalam bulan September 1818, Inggeris menyerahkan semula Melaka kepada Belanda. Seorang sahabat lama Yamtuan Muda Raja Jaafar, Adriaen Koek yang tinggal di Melaka mendapat tahu mengenai fitnah Inggeris ke atas Belanda itu. Beliau telah pergi menemui Raja Jaafar dan menafikan khabar angin tersebut. Pemerintah Belanda di Melaka juga telah menolak semua tuntutan Inggeris yang terkandung dalam perjanjian 19 Ogos 1818 itu.

Panglima Laut Belanda, Laksamana Wolterback diiringi oleh Adriaen Koek telah diutus ke Riau. Yamtuan Muda Raja Jaafar telah menyatakan kesalnya kerana menandatangani perjanjian dengan Inggeris itu lalu mencadangkan supaya satu perjanjian baru dibuat antara kerajaan baru dibuat antara kerajaan Riau-Lingga dengan Belanda bagi menjamin keselamatan Riau-Lingga.

Maka pada hari ini dalam tahun 1818, Perjanjian Johor-Riau dan Belanda ini telah ditandatangani sebagai menghapuskan rasa curiga di antara kedua-dua pihak akibat dari fitnah Inggeris.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard