View_of_the_town_and_roads_of_Singapore_from_the_government_hill_published_1828-800apx
Sejarah

Perjanjian Persahabatan E.I.C-Johor

02 Ogos 1824 – Pada tahun 1824 satu perjanjian persahabatan E.I.C-Johor telah ditandatangani di antara John Crawfurd, Residen Inggeris di Singapura bagi pihak Syarikat Hindia Timur Inggeris (E.I.C) dengan Sultan Hussain Shah dan Temenggung Abdul Rahman.

Perjanjian ini dibuat di Singapura dan telah disahkan oleh Gabenor Jeneral Inggeris di Fort William, India pada 19 November 1824.

Mengikut perjanjian yang mengandungi 14 perkara ini, Sultan Hussain dan Temenggung Abdul Rahman bersetuju menyerahkan Pulau Singapura serta pulau-pulau dalam lingkungan sepuluh batu dari pantainya kepada pihak Inggeris.

Sebagai gantinya Sultan menerima wang hadiah sebanyak 33,200 dollar Sepanyol dan gaji bulanan sebanyak 1,300 dollar, selama hayat baginda. Temenggung pula menerima wang hadiah sebanyak 26,800 dollar dan gaji bulanan sebanyak 700 dollar selagi ada hayatnya.

John Crawfurd

John Crawfurd

Selain dari itu, jika Sultan Hussain dan Temenggung mahu pindah keluar dari Singapura, Syarikat Hindia Timur Inggeris akan membayar 20,000 ringgit dan kepada Temenggung atau penggantinya sebanyak 5,000 dollar.

Perjanjian ini juga telah membatalkan persetiaan-persetiaan dan persetujuan-persetujuan yang telah pernah dibuat di antara Kompeni Hindia Timur Inggeris dengan Sultan dan Temenggung.

Akibat dari perjanjian ini Sultan Hussain telah kehilangan kuasa dan kedaulatannya ke atas Singapura.

Perjanjian yang menjadikan Singapura hak milik Inggeris ini adalah lanjutan daripada usaha-usaha yang telah dimulakan oleh Thomas Stamford Raffles pada awal tahun 1819 bagi menjamin kepentingan Inggeris.

Dengan memanipulasikan keadaan politik kerajaan Johor masa itu, terutama sekali mengenai kedudukan kesultanannya yang sedang dipertikaikan, Raffles telah mengangkat Tengku Long menjadi Sultan dengan gelaran Sultan Hussain Muhammad Shah ibni Almarhum Sultan Mahmud, Sultan Johor dalam satu istiadat di Padang Singapura pada 6 Februari 1819.

Sir_Thomas_Stamford_Raffles

Sir Thomas Stamford Raffles

Pada hari itu juga Raffles, bagi pihak Kompeni Inggeris telah membuat perjanjian dengan Sultan Hussain dan Temenggung.

Peristiwa ini telah mengubah perjalanan sejarah Kerajaan Johor yang dahulunya meliputi Johor, Riau, Lingga, Singapura, Pahang dan pulau-pulau disekitarnya.

Bendahara Tun Ali di Pahang menyifatkan perbuatan orang-orang Inggeris di Singapura itu sebagai “suatu perbuatan yang telah menceraikan orang adik-beradik, anak beranak dan sahabat handai…….

Pada tahun 1823 satu lagi perjanjian telah dibuat oleh Raffles dengan Sultan Hussain dan Temenggung Abdul Rahman yang menjadikan kuasa Inggeris di Singapura lebih kukuh daripada tahun 1819, tetapi kekuasaan dan hak-hak Inggeris di pulau itu masih dalam keadaan yang kurang baik.

View_of_the_town_and_roads_of_Singapore_from_the_government_hill_published_1828

Apabila John Crawfurd menjadi Residen Singapura beliau telah mencadangkan pula supaya Singapura diambil langsung oleh Kompeni Inggeris dari tangan Sultan Hussain dan Temenggung Abdul Rahman.

Secara kebetulan pula perjanjian Inggeris- Belanda pada 17 Mac 1824 telah memisahkan politik kenegaraan rumpun bangsa Melayu, maka Residen Crawfurd pun berusaha menjadikan Singapura hak milik Inggeris.

Akhirnya pada hari ini dalam tahun 1824 satu perjanjian di antara John Crawfurd dengan Sultan Hussain dan Temenggung Abdul Rahman telah ditandatangani.

Dengan itu Singapura telah diambil langsung oleh Inggeris daripada raja-raja Melayu yang telah turun temurun mempunyai hak kuasa pertuanan di pulau itu, bukan dengan perang, melainkan dengan kepandaian tipu daya menggunakan wang ringgit pada ketika orang-orang yang diperdayakan itu benar-benar dalam kesempitan dan hendak menjaga taraf kedudukan mereka pula sebagai raja dalam negeri.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard