british_north_borneo-800px
Sejarah

Perjanjian Perlindungan North Borneo Di Antara British North Borneo Company Dengan Kerajaan British

12 Mei 1888 – Pada tahun 1888 satu perjanjian telah ditandatangani di antara British North Borneo Company dengan Kerajaan British. Perjanjian tersebut adalah mengenai persetujuan Kerajaan British memberi perlindungan kepada wilayah-wilayah di North Borneo yang kemudiannya, melalui perjanjian ini, dikenali sebagai Negeri North Borneo (State of North Borneo).

Wilayah-wilayah yang termasuk dalam Negeri North Borneo adalah :

  • Province Alcock
  • Province Cunliffe
  • Province Dent
  • Province Dewhurst
  • Province Keppel
  • Province Martin
  • Province Mayne
  • Province Myburgh

Syarat-syarat Perjanjian Perlindungan North Borneo tersebut adalah :

  1. Wilayah-wilayah dalam North Borneo akan terus ditadbir oleh British North Borneo Company sebagai satu Negeri bebas yang dilindungi oleh Kerajaan British, tetapi perlindungan itu tidaklah memberi hak kepada Kerajaan British untuk campur tangan dalam hal ehwal pentadbiran dalam Negeri North Borneo.
  2. Hubungan dengan negara-negara luar seperti Brunei dan Sarawak akan dikendalikan oleh kerajaan British dan sekiranya timbul perselisihan faham dengan negara-negara luar pihak British North Borneo Company bersetuju mengikut budi bicara kerajaan British dan menjalankan langkah-langkah seperti yang diarahkan oleh kerajaan British;
  3. Kerajaan British juga berhak membuka pejabat-pejabat Konsul British di mana-mana wilayah di North Borneo dan Konsul-konsul British itu diberi keistimewaan-keistimewaan Kerajaan Negeri North Borneo dan mereka boleh mengibarkan bendera kerajaan British di Residensi masing-masing atau di Pejabat-pejabat awam;
  4. British North Borneo Company tidak berhak menyerahkan mana-mana kawasan North Borneo kepada mana-mana kuasa luar atau rakyat luar atau warganegara luar tanpa pengetahuan kerajaan British melainkan yang berkaitan dengan tanah atau rumah oleh orang perseorangan atas tujuan untuk kediaman atau pertanian atau perniagaan.

Perjanjian ini telah ditandatangani di London oleh Lord Salisbury bagi pihak kerajaan British dan Sir Rutherford Alcock bagi pihak British North Borneo Company. Dengan Perjanjian Perlindungan North Borneo ini maka hak-hak kedaulatan yang sepatutnya terletak di tangan sultan-sultan (Brunei dan Sulu) telah dibahagi-bahagikan di antara Kerajaan British dan British North Borneo Company: kedaulatan luar negeri kepada Kerajaan British dan kedaulatan dalam negeri kepada British North Borneo Company.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard