Sejarah

Perjanjian Perdamaian Malaysia-Indonesia

11 Ogos 1966 – Pada tahun 1966, satu Perjanjian Perdamaian Malaysia-Indonesia telah ditandatangani di Istana Merdeka, Jakarta, Indonesia. Perjanjian ini membuka satu lembaran baru mengenai persahabatan dan persaudaraan antara kedua negara yang berjiran yang mempunyai perhubungan rapat sejak berkurun-kurun lamanya.

Pada upacara tersebut, Kerajaan Malaysia telah diwakili oleh Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak manakala Indonesia diwakili oleh Tun Adam Malik, merangkap Menteri Luar Indonesia.

Perjanjian ini yang merupakan lanjutan dari sidang damai anjuran Thailand yang dibuat dalam usaha untuk menamatkan perbalahan antara kedua-dua negara akibat perselisihan faham tentang penubuhan Malaysia.

Rombongan dari Malaysia ini telah sampai ke Jakarta pada 10 Ogos 1966 dan telah disambut baik oleh rakyat Indonesia. Usaha pendamaian ini adalah usaha dan kerjasama kedua-dua negara yang berasal dari satu rumpun.

Hakikat jelas dinyatakan dalam mukadimah Perjanjian tersebut yang berbunyi seperti berikut:

“Kerana menyedari perlunya ada perhubungan rapat dan berbaik-baik di antara Indonesia dengan Malaysia dan mewujudkan suatu iklim yang boleh membawa kepada kerjasama di antara kedua buah negara, dalam semangat Perjanjian Manila dan persaudaraan di antara rakyat kedua buah negara yang mempunyai pertalian kuat dari segi sejarah dan kebudayaan dari zaman berzaman”.

kofrantasi malaysia indonesia

Tun Abdul Razak dan Tun Adam Malik

Kedua-dua pihak telah berbincang dan bersetuju dengan keempat-empat fasal yang terkandung dalam Perjanjian tersebut. Fasal-fasal tersebut adalah:

  • Kerajaan Malaysia bersetuju menyelesaikan masalah antara kedua negara dengan peluang kepada rakyat negeri Sabah dan Sarawak yang terlibat memilih secara demokrasi mengundi menentukan kedudukannya.
  • Kerajaan Republik Indonesia dan Malaysia bersetuju menyambung semula perhubungan diplomatik dan bertukar-tukar diplomat antara kedua buah negara secepat mungkin.
  • Kerajaan Republik Indonesia dan Malaysia bersetuju menamatkan rasa permusuhan antara satu sama lain secara langsung.
  • Perjanjian Perdamaian ini dikuatkuasakan pada tarikh ditandatangani.

Dengan termeterainya perjanjian ini, maka tamatlah perselisihan faham di antara kedua buah negara dan perhubungan persaudaraan tercantum semula.

Perjanjian ini juga telah menghidupkan semula Perjanjian Persahabatan yang terdahulu dibuat pada 17 April 1959 setelah terbeku beberapa ketika semenjak 1963.

Hasil dari perjanjian ini, pada 12 Ogos 1966, satu rombongan persaudaraan dari Republik Indonesia yang diketuai oleh Tun Adam Malik telah melawat Malaysia.

Rombongan beliau telah disambut dengan meriah oleh rakyat Malaysia. Ini melambangkan kemenangan dan kemesraan kedua-dua negara.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard