20 Mac 1968 – Pada hari ini dalam tahun 1968, satu perjanjian penarikan keluar tentera British dari Malaysia telah ditandatangani di antara Yang Dipertua Persatuan Kakitangan Jabatan Perang, Encik S.J.H. Zaidi bagi pihak kerajaan Malaysia dengan Setiausaha Pasukan Tentera, Encik C.E. Starling bagi pihak British. Upacara ini disaksikan bersama oleh Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia Sir Michael Walker dan Menteri Buruh, Encik V. Manickavasagam.

Berikutan dengan penarikan tentera British dari Malaysia ini telah mengakibatkan 20,000 orang kehilangan pekerjaan. Seramai 8,000 orang dari jumlah itu terdiri dari orang awam. Menurut perjanjian ini bekas anggota tentera akan dibayar faedah pemberhentian mereka.

Adalah dianggarkan pembayaran faedah ini melibatkan perbelanjaan sebanyak 60 juta ringgit yang dibayar mengikut kelayakan di antara 6 ribu hingga 60 ribu ringgit. Ramai di antara mereka yang telah diberhentikan kerja itu terutama sekali yang masih muda diserap masuk ke rancangan-rancangan kemajuan tanah bagi memulakan hidup baru.

Walaupun Malaysia tidak puas hati dengan syarat-syarat perjanjian itu tetapi terpaksa menerimanya memandangkan kepada keadaan politik dan ekonomi yang tidak memuaskan, terutama akibat daripada kejatuhan harga getah.

Dengan termeterainya perjanjian ini maka tamatlah hubungan ketenteraan dengan British. Bagaimanapun hubungan baik antara kedua negara terus kekal hingga ke hari ini.

Perjanjian penarikan keluar tentera British dalam tahun 1968 ini membuktikan kemampuan Malaysia berdikari di bidang pertahanan tanpa sebarang bantuan asing.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

One thought on “Perjanjian Penarikan Keluar Tentera British Dari Malaysia”

  1. saya adalah bekas tentera british bertempat di singapore adalah angguta terlibat penamatan jawatan pada tahun 1986-1971,Pembayaran feadah sebanyak 60 juta kepada kami yg terbabit ,
    1.soalnnya siapa kah yang bertenggongjawab diatas pembayaran feadah yang melibatkan RM 60 juta
    2. Mengikut perjanjian bekas angguta tentera yang terlibat akan dibayar sebanyak RM 6 ribu hingga 60 ribu.

    Persoalannya hingga kehari ini selama setangah abad kami anggota tentera yang terlibat masih belum menerima bayaran feadah tersebut.

    Dengan itu sila beritahu kami kepada siapakah bahwa kami boleh menuntut pembayaran tersebut.?

Tinggalkan Komen