16 Mac 1637 – Perjanjian antara Pahang dengan Belanda mengenai kerjasama dalam bidang pertahanan telah ditandatangani pada tahun 1637. Sebelum perjanjian itu ditandatangani, hubungan Pahang dengan Belanda kurang baik dan seringkali membawa kepada meletusnya peperangan.
Permusuhan antara Pahang dengan Belanda bermula, pada 9 November 1634 iaitu apabila angkatan perang Pahang dan Johor telah berangkat ke Patani untuk membantu Patani memerangi Siam. Belanda yang menyokong Siam telah membantu Siam menyerang kemaraan Pahang. Peristiwa itu juga merupakan punca meletusnya peperangan Pahang-Aceh pada tahun 1635 iaitu berikutan timbulnya perasaan kurang senang Aceh di atas bantuan yang diberikan oleh Pahang ke atas Patani.
Setelah wujudnya permusuhan yang berpanjangan antara Pahang dengan Belanda, maka perjanjian yang ditandatangani antara kedua-dua kuasa itu amat penting dalam usaha menjaga keamanan bersama. Hasil perjanjian itu Pahang telah berjanji untuk mendirikan sebuah kubu pertahanan yang kuat di Johor bagi menentang kuasa Portugis di Melaka.
Dengan termeterainya perjanjian itu pada hari ini dalam tahun 1637, ia telah dapat mengatasi masalah hubungan politik antara Pahang dengan Belanda di samping mewujudkan hubungan persahabatan.
Sumber : Arkib Negara Malaysia