bendera_negeri_negeri_bersekutu-800px
Sejarah

Perjanjian Mengenai Pembentukan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu

12 Jun 1895 – Pada tahun 1895, satu perjanjian telah ditandatangani oleh Raja-Raja Melayu, empat buah negeri iaitu Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan dengan pihak British bagi membentuk Negeri-negeri Melayu Bersekutu dan bernaung di bawah panji-panji British. Perjanjian ini dibuat akibat daripada tercetusnya beberapa kekacauan dan perebutan kuasa yang berlaku di keempat-empat buah negeri tersebut.

Mohor_Negeri-negeri_Melayu_Bersekutu

Perjanjian yang mengandungi enam fasal ini antaranya menyentuh tentang persetiaan dan perakuan Raja-Raja Melayu menjadikan negerinya sebagai satu jemaah yang bernama Negeri-negeri Melayu yang bernaung di bawah bendera dan nasihat Kerajaan Queen. Raja-raja Melayu juga tidak boleh menjalankan kuasanya dalam negeri lain selain negerinya.

Di samping itu Raja-Raja Melayu diminta menerima pegawai Inggeris bergelar Residen-Jeneral sebagai penasihat dan mereka hendaklah memberi pertolongan kepada pihak Inggeris apabila diminta berbuat demikian. Pihak Inggeris juga menegaskan bahawa perjanjian ini tidak akan mengubah atau mengurangkan kuasa mana-mana Raja Melayu dalam negerinya.

Berikutan termeterainya perjanjian Pembentukan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu ini maka bermulalah campur tangan Inggeris ke atas negeri-negeri Melayu hingga Tanah Melayu mendapat kemerdekaan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard