thailand-800px
Sejarah

Perjanjian Bangkok 1909

10 Mac 1909 – Perjanjian Inggeris-Siam yang juga dikenali sebagai Perjanjian Bangkok 1909 ditandatangani di Istana Raja Siam di Bangkok. Perjanjian diantara United Kingdom dan kerajaan Siam ini ditandatangani pada 10 Mac 1909 dan diratifikasikan pada 9 Julai 1909.

Perjanjian itu adalah hasil dari rundingan-rundingan sulit Inggeris -Siam mengenai masalah-masalah kawasan pengaruh British dan maruah Siam. Pihak Inggeris khuatir dengan saingan perdagangan dan pengaruh Perancis, Rusia dan Jerman, sementara Siam pula ingin mendapatkan kembali maruah dan dignitinya yang telah hilang akibat hak-hak ekstrateritorial yang terpaksa diberikannya kepada kuasa-kuasa Barat iaitu Perancis dan British.

coat_of_arms_of_siam_1873-1910

Jata Kerajaan Siam 1873-1910

Oleh kerana Kerajaan Siam merasakan sukar untuk mengawal ekonomi dan pentadbiran negeri-negeri utara Tanah Melayu yang berlainan bangsa, budaya dan agama darinya itu dan ingin pula menitikberatkan pembangunan dalam negerinya sendiri, dan Inggeris pula sanggup melindungi negeri-negeri tersebut maka persetujuan pun mudah tercapai.

Hasilnya pada tahun 1909 Perjanjian Inggeris-Siam ditandatangani. Dengan perjanjian itu yang meletakkan Negeri-negeri utara Tanah Melayu-Kedah, Kelantan, Perlis dan Terengganu (dulunya Negeri-negeri Melayu Tak Bersekutu) ke dalam kekuasaan British maka seluruh Tanah Melayu termasuk dalam kawasan pengaruh British sepenuhnya. Bagaimanapun Perjanjian Bangkok ini hanya disahkan pada 9 Julai 1909 dan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.

Butiran Perjanjian Bangkok 1909 adalah seperti berikut:-

  • Penyerahan Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, dan pulau-pulau bersebelahan kepada Great Britain.
  • Tarikh penyerahan dalam tempoh tiga puluh hari selepas ratifikasi perjanjian.
  • Perlantikan Suruhanjaya Bercampur untuk persempadanan Inggeris-Siam.
  • Hutang awam wilayah yang diserahkan akan tetap dibayar kepada Kerajaan Siam.
  • Penghapusan bidang kuasa Konsul British di Siam.
  • Hak rakyat British di Siam terhadap harta, kediaman dan perjalanan, cukai, dll.
  • Pengesahan perjanjian lama .
  • Ratifikasi dalam tempoh empat bulan.
bangkok_treaty_border-800px

Sempadan baharu British dengan Siam.

Kesan Perjanjian Bangkok 1909

Berikutan dari perjanjian itu, Kelantan adalah merupakan negeri yang pertama menandatangani perjanjian dengan Britain dan menerima Penasihat British pada tahun 1910.

Pada 14 Julai 1909, istiadat memindahkan kuasa pemerintahan Terengganu daripada tangan Siam kepada British dilangsungkan. Bagaimanapun hanya pada 22 April 1910, seorang pegawai British bertaraf Konsul dilantik di Terengganu, dan pada tahun 1919 barulah dilantik seorang Penasihat British apabila Terengganu menandatangani perjanjian dengan Britain dan menerima pemerintahan British.

Kedah pula menerima Penasihat British pada 15 Julai 1910 di Balai Besar, Alor Setar. Majlis tersebut dihadiri oleh Sultan Abdul Hamid, Tengku Mahmud, Pegawai-Pegawai Kanan Negeri Kedah, Williamson Penasihat Kewangan Siam mewakili Raja Siam, George Maxwell mewakili British. Kedah hanya menandatangani perjanjian dengan Britain sebagai negeri naungan pada tahun 1923.

Pada tahun 1930, Perlis pula menandatangani perjanjian dengan Britain.

Dengan itu Semenanjung Tanah Melayu dikuasai sepenuhnya oleh Britain dan hubungan dengan negeri Siam terus terputus.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard