Marlborough_House-800px
Sejarah

Perjanjian Akhir Penubuhan Persekutuan Malaysia Di London

08 Julai 1963 – Pada tahun 1963, satu rundingan akhir mengenai penubuhan Persekutuan Malaysia telah diadakan di London. Rundingan ini telah ditamatkan dengan satu perjanjian yang ditandatangani selepas tengah malam di Marlborough House iaitu Pejabat Perhubungan Komanwel.

Perjanjian yang mengukir sejarah baru itu telah ditandatangani oleh kerajaan-kerajaan British, Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak.

Brunei yang pada mulanya telah ikut serta perundingan tersebut telah menarik diri di saat-saat akhir perjanjian itu ditandatangani.

Perundingan ini, lanjutan dari rundingan-rundingan yang telah diadakan sebelumnya, merupakan perundingan yang paling rumit di mana soal Singapura dan pasaran bersama negeri-negeri dalam Malaysia dititikberatkan.

Rundingan yang hampir menemui jalan buntu itu akhirnya telah dapat diselesaikan. Hanya soal kemasukan negeri Brunei yang tidak dapat diselesaikan.

Perjanjian Malaysia itu telah memperlihatkan dengan jelasnya bahawa gagasan Persekutuan Malaysia mendukung dasar kemasukan negeri-negeri lain ke dalam Malaysia dengan secara sukarela.

Keengganan Brunei menyertai Persekutuan Malaysia juga menjadi bukti yang nyata bahawa Malaysia lahir tanpa paksaan apa-apa pun.

Upacara yang mengakhiri sejarah penjajahan British selama beratus tahun di Singapura, Sabah dan Sarawak telah ditandatangani dalam lima salinan oleh wakil-wakil kerajaan-kerajaan yang terlibat.

Kerajaan British telah diwakili oleh Perdana Menteri, Encik Harold Macmillan, Encik Ducan Sandys dan Lord Landsdowne.

Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu pula telah diwakili oleh Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra , Tun Abdul Razak, Encik Tan Siew Sin, Datuk V.T. Sambanthan, Datuk Ong Yoke Lin dan Dr Lim Swee Aun.

Sabah pula telah diwakili oleh Datuk Mustapha bin Datuk Harun, Encik Donald A. Stephen, Encik W.K.H. Jones, Encik Khoo Siak Chiew, Encik W. S. Holley dan Encik G. D. Sundang.

Wakil-wakil dari negeri Sarawak pula terdiri daripada Encik P.E.H. Pike, Temenggung Jugah, Datuk Bandar Abang Haji Mustapha, Encik Ling Beng Siew dan Datuk Abang Haji Openg.

Singapura pula telah diwakili oleh Encik Lee Kuan Yew dan Encik Goh Keng Swee.

Pembentukan Malaysia itu telah mengukuhkan keselamatan di rantau ini dan juga menolong perkembangan dan kemajuan ekonomi serta sosial di Asia Tenggara.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard