Sejarah

Peristiwa Bukit Kepong

23 Februari 1950 – Peristiwa Bukit Kepong adalah kejadian dimana pengganas komunis telah menyerang Balai Polis Bukit Kepong. Pertempuran yang berlaku sekitar jam 5:00 pagiini telah mengorbankan 25 anggota polis dan orang awam. Semasa kejadian tersebut terdapat 15 anggota polis Melayu dan Konstable Polis marin yang diketuai oleh Sarjan Jamil Mohd Shah. Pasukan ini diperkuatkan dengan 3 konstabal khas dan 4 polis campuran. Seramai 13 isteri dan anak-anak anggota polis pula tinggal di berek kelamin di belakang balai.

Bukit_kepong_Layout_1950

Serangan Bermula

Pada awal pagi hari tersebut sekitar 180 orang pengganas komunis Kompeni Bebas ke-4 diketuai oleh Muhammad Indera, Komunis Melayu dan Komisser Goh Peng Tun telah mengepung kawasan Balai Polis Bukit Kepong. Separuh daripada mereka telah mengepung bahagian hadapan manakala selebihnya mengelilingi kawasan balai.

Pertempuran bermula sekitar 4.15 pagi apabila SC Jaffar mencabar dan menembak seorang anggota komunis yang cuba memotong kawat duri. Bermula daripada itu pengganas komunis mula melancarkan serangan dari segenap penjuru terutamanya dari bahagian hadapan. Pihak polis memberikan tentangan yang hebat terutamanya daripada kedudukan 2 Bren Gun yang terletak di dalam kubu di bawah balai polis.

Gambar kenangan anggota polis Bukit Kepong

Gambar kenangan anggota polis Bukit Kepong

Anggota polis yang diketuai oleh Sarjan Jamil enggan menyerah walaupun berkali-kali pihak komunis menyeru supaya menyerah diri. Serangan yang berterusan telah menyebabkan beberapa anggota polis telah terbunuh. 2 orang isteri anggota polis turut sama berjuang apabila mendapati suami mereka telah terkorban.

Kira-kira jam 7:00 pagi, pengganans komunis mula mengubah taktik. Mereka telah menangkap isteri anggota polis iaitu Miriam Ibrahim (isteri kepada Konstabel Mohammad Jaafar), Fatimah Yaaba (isteri kepada Konstabel Abu Bakar Daud) dan anaknya Hassan. Pihak komunis memaksa mereka merayu kepada anggota polis supaya menyerah. Anggota polis tidak mengendahkan taktik kotor ini dan terus berjuang habis-habisan. Akibat daripada itu pengganas komunis telah mencederakan Miriam manakala Fatimah pula telah dibunuh. Sementara itu suami Fatimah, Konstabel Abu Bakar Daud telah tercedera di dada dan tangan semasa mempertahankan botnya.

Anggota polis pangkat rendah dan polis bantuan

Anggota polis pangkat rendah dan polis bantuan

Saat Akhir Pertempuran

Peristiwa Bukit Kepong berakhir apabila pengganas komunis mula membakar berek dan balai polis. Pada ketika itu 3 anggota polis dan seorang pengawal kampung telah meluru keluar dari balai yang sedang terbakar dan menyerang kedudukan pengganas komunis. Mereka dapat membunuh sekurang-kurangnya 3 orang sambil ditembak oleh pengganas komunis tersebut. Hanya salah seorang daripada mereka berjaya menyeberang sungai.

Setelah hampir lima jam bertempur, komunis telah berjaya mengalahkan pihak polis dan berundur ke dalam hutan. Sebelum itu mereka telah melontarkan mereka yang tercedera dan terkorban ke dalam api. Antaranya Hassan bin Abu Bakar anak kepada konstebal Abu Bakar yang dicampak hidup-hidup ke dalam api. Terdapat juga dua wanita dan anak-anak mereka yang hangus terbakar di dalam berek kelamin.

Anggota polis bukit kepong

Mereka yang terselamat

Anggota Polis

Mata-Mata 10533 Othman bin Yusoff (meninggal);

Mata-Mata Marin 37 Abu Bakar bin Daud (meninggal);

Mata-Mata Tambahan 3472 Ahmad bin Khalid (meninggal);

Mata-Mata 7645 Yusoff Rono (78 tahun pada tahun 2000, meninggal dunia pada tahun 2005)

Ahli keluarga anggota

Mariam binti Ibrahim – isteri Mata-Mata 7493 Muhamad bin Jaafar

Zainun binti Muhamad – anak Mata-Mata 7493 Muhamad bin Jaafar

Abu Samah bin Muhammad – anak Mata-Mata 7493 Muhamad bin Jaafar

Zaleha binti Muhamad- anak Mata-Mata 7493 Muhamad bin Jaafar

Jamilah binti Abu Bakar – anak perempuan Mata-Mata Marin 37 Abu Bakar bin Daud

Hussain bin Abu Bakar- anak lelaki Mata-Mata 37 Abu Bakar bin Daud

Fatimah binti Abdul Manan @ Timah Lawa – isteri Mata-Mata Hassan Osman

Pon binti Khalid – isteri Mata-Mata Marin 68 Awang bin Ali

Fatimah binti Tuani – isteri Mata-Mata 3933 Hamzah bin Ahmad

Edmund Ross Williams Hunt – orang asli bertugas sebagai pemandu arah

Mereka yang gugur dalam pertempuran

Anggota Polis

Sarjan 2493 Jamil bin Mohd Shah (Ketua Balai Bukit Kepong)

Koperal 7068 Mohd Yassin bin Haji Wahab (Timbalan Ketua Balai Bukit Kepong)

Lans Koperal 7186 Jidin bin Omar

Mata-Mata 9136 Hassan bin Osman

Mata-Mata 3933 Hamzah bin Ahmad

Mata-Mata 8600 Jaafar bin Hassan

Mata-Mata 7493 Muhamad bin Jaafar

Mata-Mata 5674 Abu bin Mohd Ali

Mata-Mata 7862 Abu Kadir Jusoh

Mata-Mata Marin 60 Ibrahim bin Adam

Mata-Mata Marin 68 Awang bin Ali

Mata-Mata Marin 181 Basiron bin Adam

Mata-Mata Tambahan 3475 Mohd Top bin Lazim

Mata-Mata Tambahan 3795 Jaafar bin Arshad

Polis Bantuan / Auxiliary Police

AP 2130 Samad bin Yatim

AP 1912 Mahmud bin Sa’at

AP 1925 Ali bin Akob

AP 2127 Othman Yahya

Keluarga Anggota

Fatimah binti Yaaba – isteri Mata-Mata Marin 37 Abu Bakar bin Daud

Hassan bin Abu Bakar – anak Mata-Mata Marin 37 Abu Bakar bin Daud

Saadiah – isteri Mata-Mata 5674 Abu bin Mohd Ali

Simah binti Abu – anak Mata-Mata 5674 Abu bin Mohd Ali

Arafah binti Yusoff – isteri Mata-Mata Marin 60 Ibrahim bin Adam

Anggota Polis Bantuan (AP) dan Pengawal Kampung yang terkorban dalam pertempuran diluar balai polis

AP 2098 Redzuan bin Alias

Embong bin Lazim

Mendiang Koh Ah Cheng

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard