sang_saka_bangsa-800px
Sejarah

Perikatan Pemuda Umno Ditubuhkan

26 Ogos 1949 – Perikatan Pemuda Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu telah ditubuhkan pada tahun 1949. Perikatan Pemuda UMNO ini ditubuhkan semasa diadakan Persidangan Majlis Mesyuarat Pemuda daripada seluruh Semenanjung Tanah Melayu.

Persidangan yang berlangsung di Butterworth ini dianjurkan oleh Jawatankuasa Kerja Agong UMNO. Ianya turut dihadiri oleh Yang di-Pertua Agung UMNO, Dato’ Onn Jaafar selaku Penasihat, Kapten Hussein Onn, Setiausaha Hal Ehwal Pemuda UMNO, 25 orang wakil pemuda dari 14 bahagian UMNO serta pemerhati-pemerhati.

Persidangan ini telah dipengerusikan oleh Encik Mohd Shafie bin Sheikh Ibrahim.

Usaha untuk menubuhkan Perikatan Pemuda UMNO adalah setelah difikirkan betapa pentingnya diadakan sebuah pertubuhan pemuda-pemuda di dalam UMNO, yang akan dijadikan tempat tumpuan pemuda-pemuda menjalankan kerja-kerja berkenaan dengan hal ehwal serta kebajikan pemuda-pemuda sendiri dengan bekerjasama dan bersatu di antara satu dengan lain.

Selain dari itu, Perikatan juga memberi serta mengadakan peluang kepada pemuda-pemuda ini dan akan datang untuk beroleh sebaik-baik peluang untuk melayakkan dirinya mengambil bahagian dan campur tangan di dalam pekerjaan yang berkenaan dengan pemerintahan negerinya.

Susunan perikatan ini telah diatur supaya dapat diperluaskan cawangan-cawangannya ke seluruh Semenanjung.

Cawangan-cawangan perikatan ini akan dibuka kepada pemuda-pemuda yang berumur 16-35 tahun dan juga kepada pemuda-pemuda yang sanggup mendahulukan faedah-faedah negeri dan tanah air daripada faedah-faedah sendiri.

Persidangan Majlis Pemuda ini, telah menerima asas-asas rang undang-undang tubuh Perikatan Pemuda UMNO setelah ianya dibincangkan selama enam jam.

Ketetapan lain yang diterima ialah membaharui taat setia kepada Yang di-Pertua Agung UMNO, Dato’ Onn Jaafar yang dicadangkan oleh wakil dari Segamat.

Persidangan ini juga telah melantik ahli-ahli Jawatankuasa Perikatan Pemuda UMNO bagi tahun 1949/1950.

Di antara yang dilantik ialah Kapten Hussein Onn sebagai Ketua Pemuda UMNO dan dua orang wakil Majlis Mesyuarat Agung UMNO 1949/1950 iaitu Tuan Haji Ahmad dan Encik Shafie bin Sheikh Ibrahim.

Penubuhan Perikatan Pemuda UMNO pada hari ini dalam tahun 1949, sesungguhnya dapat menggerakkan tenaga muda menjalankan kegiatan-kegiatan yang berfaedah untuk mereka dan seterusnya kepentingan orang-orang Melayu keseluruhannya.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard