Dayabumi_Complex-800px
Sejarah

Perdana Menteri Merasmikan Bangunan Kompleks Dayabumi

05 Mei 1984 – Bangunan Kompleks Dayabumi satu lagi mercu tanda bandaraya Kuala Lumpur telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 1984. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Menteri Perusahaan Awam Datuk Paduka Rafidah Aziz.

Kompleks Dayabumi ini adalah sebuah projek pembangunan semula bandar yang terbesar pernah dilaksanakan oleh Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) dan projek ini mulai diilhamkan oleh kerajaan sejak tahun 1972 kini menjadi kenyataan.

Dalam ucapan perasmiannya Perdana Menteri melahirkan rasa bangga kerana UDA sebagai sebuah agensi Kerajaan berjaya membina sebuah projek yang besar ini. Kejayaan ini juga ada kaitannya dengan kejayaan Dasar Pandang ke Timur kerana syarikat-syarikat tempatan telah mengambil bahagian sama dalam projek ini. Ini kerana kontraktor-kontraktor Korea Selatan yang menjalankan kerja-kerja tersebut dapat memindahkan teknologi dan pengetahuan kepada kontraktor tempatan. Mengikut Perdana Menteri lagi sebuah syarikat tempatan telah berjaya mengeluarkan “curtain wall” untuk kegunaan projek Dayabumi ini.

Projek ini telah disiapkan dalam masa 26 bulan adalah amat membanggakan lebih-lebih lagi untuk menyiapkan bangunan setinggi 35 tingkat bukannya suatu kerja yang mudah. Dengan perasmian projek Dayabumi oleh Perdana Menteri pada hari ini dalam tahun 1984 telah berjaya mewujudkan satu lagi mercu tanda di Kuala Lumpur dan juga menyediakan pelbagai kemudahan ruang perniagaan kepada bumiputera.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard