Tanjung_pelepas-800px
Sejarah

Perasmian Pelabuhan Tanjung Pelepas

13 Mac 2000 – Perasmian Pelabuhan Tanjung Pelepas telah dilaksanakan oleh Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 2000. Pelabuhan Tanjung Pelepas ditubuhkan pada 13 Mac 1999 dan memulakan operasinya pada 10 Oktober 1999. Ia telah diberikan status zon bebas cukai yang bertujuan untuk meningkatkan jumlah aktiviti perdagangan di sini.

Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) yang terletak di di muara Sungai Pulai ini di bina dengan kos sebanyak RM 2.4 billion. Kawasan PTP seluas 1,935 ekar dan dilindungi oleh sebuah teluk air dalam. Kedalaman air di kawasan tersebut mencecah 15 meter. Pelabuhan Tanjung Pelepas mempunyai saluran sepanjang 12.6 kilometer dan lebar seluas 250 meter. Ini memberikan kelebihan dalam mengurangkan masa kapal-kapal untuk menunggu.

PTP dihubungkan oleh Lebuhraya Utara-Selatan (menghubungkan Singapura ke sempadan Thailand). Pelabuhan ini juga berada dikawasan Zon Perdagangan Bebas. Ia memberi keistimewaan kepada pelanggan supaya bebas daripada prosedur kastam, duti import dan eksport serta lesen import. Jambatan Linkedua ke Tuas di Singapura juga sangat dekat dan menjadikan PTP tidak berbeza dengan pelabuhan sedia ada di Singapura.

Fasa pertama pembinaan pelabuhan ini melibatkan jarak sepanjang 2.16 kilometer dan diikuti dengan fasa-fasa pembangunan lain secara berperingkat-peringkat. Pelabuhan ini dilengkapi dengan segala kelengkapan bertaraf dunia dan mampu mengendalikan 3.8 juta TEUs setahun. Kawasan dermaganya seluas 600 meter serta kedalaman 15 meter itu telah membolehkan pelbagai kontena generasi baru beroperasi di pelabuhan ini.

Seluruh operasi pelabuhan di kendalikan dengan sistem kawalan pintu masuk yang berteknologi moden. Sesungguhnya perasmian pelabuhan Tanjung Pelepas pada tahun ini telah membuka satu lagi pintu masuk perdagangan luar negara ke negara ini.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard