tok_janggut-800px

Perang Tok Janggut

29 April 1915 – Pada tahun 1915 bermulalah detik awal penentangan yang lebih dikenali sebagai Perang Tok Janggut untuk menentang sistem pentadbiran British di Kelantan. la mula tercetus apabila berlaku perbalahan di antara Tok Janggut dengan Sarjan Che Wan Sulaiman , seorang anggota Polis British yang berakhir dengan kematian Sarjan itu.

Tok Janggut atau nama sebenarnya Haji Hassan bin Panglima Mat Munas telah mengepalai satu penentangan orang-orang tempatan di daerah Pasir Putih menentang pihak pentadbiran British yang telah menimbulkan rasa tidak puas hati masyarakat tempatan pada masa itu. Campur tangan British di Negeri Kelantan pada awal abad kedua puluh telah menyebabkan berlaku beberapa perubahan dasar sistem pentadbiran di negeri tersebut.

Tok Janggut
Tok Janggut

Pihak British telah memperkenalkan sistem-sistem cukai yang baru yang bercanggah dengan kebiasaan rakyat tempatan dan telah melantik pegawai-pegawai untuk menggantikan tempat pembesar-pembesar daerah tradisional. Kewujudan alat-alat pentadbiran dan campur tangan pihak British dalam pentadbiran Negeri Kelantan ini telah menggugat kedudukan pembesar-pembesar daerah serta menimbulkan kemarahan mereka yang selama ini memiliki banyak keistimewaan.

Antara yang paling sensitif ialah pengenaan cukai seperti berikut:

  • cukai tanah
  • cukai kepala sebanyak RM1.00 seorang setahun
  • cukai pokok buah-buahan sebanyak 3 sen setahun
  • kelapa sebanyak 3 sen setandan
  • sireh sebanyak 5 sen sejunjung.

Di antara faktor-faktor lain yang membawa timbulnya penentangan ini ialah ketidakcekapan dan sikap tidak bertimbangrasa pihak pentadbiran Tanah Jajahan dan juga pegawai-pegawai tempatannya terutamanya En. Latif iaitu Ketua Jajahan yang mentadbirkan daerah Pasir Putih. Beliau yang dibawa oleh pihak British dari Singapura terlalu mengikut peraturan tugas dan kurang mengetahui sikap dan cara berfikir orang-orang tempatan; seorang yang bersikap British dan tidak mahu bercampur gaul dengan orang-orang tempatan.

Kemunculan Tok Janggut dan beberapa pembesar Melayu seperti Engku Besar (Raja atau pemerintah Jeram), Che Sahak dan Haji Said yang telah mengepalai gerakan ini telah membangkitkan semangat rakyat untuk turut sama menentang pentadbiran baru kerajaan itu. Setengah daripada pejuang-pejuang Melayu ini menganggap penentangan ini adalah sebagai perang menentang pihak kafir (perang sabil).

Dengan semangat ini orang-orang Melayu telah menentang pihak British yang dibantu oleh Pasukan Polis yang kebanyakannya datang dari Singapura. Walaupun pejuang-pejuang Melayu tidak mempunyai peralatan perang yang moden dan lengkap, tetapi mereka telah menentang dengan beraninya sehingga ketitisan darah terakhir.

Penentangan ini berlarutan sehingga akhir bulan Jun 1915 apabila pihak British dikatakan berjaya membunuh Tok Janggut dan beberapa orang pengikutnya. Engku Besar, Haji Said, Encik Ishak dan beberapa orang lagi telah lari ke Reman, Negeri Siam.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Baca Juga:

Tinggalkan Komen