lonek-800px
Sejarah

Pertempuran Di Batu Kikir

6 November 1945 – Pada tahun 1945, satu pertempuran berlaku di antara penduduk kampung dengan pengganas komunis di pekan Batu Kikir, Jempol Negeri Sembilan. Pertempuran di Batu Kikir itu berlaku apabila sekumpulan penduduk di sekitar pekan Batu Kikir keluar beramai-ramai untuk menyelamatkan seorang guru agama yang ditangkap oleh pengganas komunis dan ditahan di markas komunis, di Kuala Pilah.

Guru agama tersebut, Tuan Haji Yahya telah ditangkap ketika menjalankan perniagaannya membeli getah keping di sebuah kedai di pekan tersebut. Oleh kerana tentera Gurkha yang berkawal tidak berusaha membebaskan Haji Yahya, menyebabkan kira-kira 300 orang penduduk dari Kampung Lonek, Kampung Tebat, Kampung Tengah dan Kampung Batu Kikir yang sedang mengikuti seni mempertahankan diri di Masjid Lonek, 3 kilometer dari Pekan Batu Kikir telah keluar untuk menyelamatkan guru tersebut.

Maka berlakulah peperangan antara kedua-dua pihak. Pertempuran pada hari ini dalam tahun 1945 telah berakhir dengan kemenangan di pihak orang kampung. Sesungguhnya ia juga merupakan satu kejayaan besar kepada penduduk Tanah Melayu dalam usaha membanteras kegiatan komunis di Tanah Melayu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard