uia-800px
Sejarah

Penubuhan Universiti Islam Antarabangsa

20 Mei 1983 – Pada tahun 1983, DYMM Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong, Tuanku Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Al-Marhum Sultan Abu Bakar Riayatuddin Al-Mu’adzam Shah telah berkenan menandatangani ’Surat Cara’ Penubuhan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Kuala Lumpur.

universiti_islam_antarabangsa

Sejarah cadangan penubuhan UIAM bermula pada tahun 1977 dengan penerimaan resolusi ‘Konfenderasi Pendidikan Muslim Sedunia’ di Makkah anjuran Universiti Raja Abdul Aziz. Pada awal tahun 1982, YAB Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mahathir bin Mohamad merancang untuk menubuhkan Universiti Islam dengan kos perbelanjaan ditaja oleh Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan beberapa negara Islam. Setelah dipersetujui kabinet, UIAM ditubuhkan secara rasmi dengan menumpang di Maktab Perguruan Islam, Petaling Jaya.

UIAM memulakan sesi pengajian buat pertama kali pada 18 Julai 1983 dengan pengambilan seramai 153 orang pelajar. Pada 24 Ogos 1993, YAB Datuk Seri Dr Mahathir bin Mohamad telah merasmikan upacara meletakkan batu asas kampus UIAM di Gombak dan pada 17 April 2001, beliau merasmikan kampus UIAM yang menelan belanja sebanyak RM672 juta. Kampus tersebut mempunyai reka bentuk seni bina Islam dan tradisional Melayu terletak di kawasan seluas 272 hektar.

Sesungguhnya UIAM terus berkembang dan kini mempunyai dua kampus cawangan di Kuantan dan Kuala Lumpur serta Pusat Asasi UIAM yang terletak di Petaling Jaya, Selangor dan di Nilai, Negeri Sembilan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard