radio_malaya_flyer-800px
Sejarah

Penubuhan Radio Malaya

02 April 1946 – Jabatan Penyiaran yang dikenali dengan RADIO MALAYA ditubuhkan pada tahun 1946 dan beribu pejabat di Singapura. Dengan tertubuhnya Jabatan ini maka tamatlah perkhidmatan penyiaran di bawah Pentadbiran Tentera British. Sejak ditubuhkan ia memainkan peranan yang penting kepada rakyat dan negara.

Di masa darurat tahun 1948 hingga 1951 Radio Malaya menyiarkan Siaran Darurat dalam usaha menentang dakyah dan keganasan komunis. Menjelang merdeka Radio Malaya mendidik dan membimbing rakyat dalam menghadapi satu penghidupan baru dalam negara yang merdeka dan berdaulat.

Pemindahan Radio Malaya Dari Singapura

Pada tahun 1959, Ibu Pejabat perkhidmatan ini (Radio Malaya) telah dipindahkan dari Singapura ke Rumah Persekutuan, di Kuala Lumpur. Dari Rumah Persekutuan ini rancangan-rancangan disiarkan dalam empat bahasa iaitu Melayu oleh Perkhidmatan Melayu, Inggeris (Perkhidmatan Inggeris), Cina (Perkhidmatan Cina), dan Tamil (Perkhidmatan Tamil), yang kemudiannya dikenali sebagai Rangkaian-rangkaian Nasional, Biru, Hijau dan Merah.

Radio_Malaya

Selepas Penubuhan Malaysia

Apabila Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963 ia bertukar menjadi Radio Malaysia dan siarannya meliputi Sabah (Radio Malaysia Sabah) dan Sarawak (Radio Malaysia Sarawak). Dalam tahun 1963, selepas penubuhan Malaysia, Jabatan Penyiaran memulakan siaran daerahnya untuk memberi perkhidmatan yang lebih meluas pada orang ramai supaya dapat diterima dan difahami oleh rakyat sepenuhnya.

Siaran Daerah yang pertama dimulakan pada 16 November 1963, apabila Stesen Daerah Kota Bharu ditubuhkan. Bagaimanapun Stesen Daerah ini hanya dirasmikan pada 6 November 1964. Kini terdapat 15 stesen daerah di Malaysia termasuk di Sabah dan Sarawak. Pada 15 Februari 1963 Radio Malaya melancarkan Siaran Luar Negeri iaitu SUARA MALAYA dalam 3 bahasa untuk memprojek imej negara di luar negeri dari segi politik, ekonomi dan sosial di samping mempereratkan tali persaudaraan dengan negara jiran.

Apabila Malaysia tertubuh ia bertukar menjadi Suara Malaysia. Hari ini Suara Malaysia menyiarkan rancangan dalam lapan bahasa iaitu Indonesia, Inggeris, Mandarin, Thai, Arab, Filipina dialek Tagalog, Bahasa Malaysia dan Burma.

angkasapuri_70_800px

Angkasapuri

Perkhidmatan Televisyen Malaysia

Bidang penyiaran telah maju setapak lagi apabila Perkhidmatan TV dimulakan pada 28 Disember 1963. Segala kegiatan dan penerbitan rancangan dijalankan di Studio-studio sementara di Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Apabila studionya di Kompleks Angkasapuri yang terletak di Bukit Putra siap, TV Malaysia memulakan siaran dari sana pada 6 Oktober 1969 melalui Rangkaian Pertama. Pada bulan November tahun yang sama Rangkaian Kedua pula dilancarkan dan diikuti oleh Rangkaian Ketiga pada bulan November 1971.

Pada 11 Oktober 1969, Radio Malaysia dan TV Malaysia telah bergabung menjadi satu Jabatan iaitu JABATAN PENYIARAN MALAYSIA. Pada 19 April 1972, Rangkaian Nasional Radio Malaysia memulakan siaran 24 jam sehari, manakala masa siaran bagi rangkaian lain juga turut bertambah. Pada 9 Mei 1972, Radio Malaysia telah berpindah ke bangunannya sendiri, Wisma Radio yang dilengkapi dengan kemudahan penyiaran yang moden. Selaras dengan perkembangan pesat di Ibu negara, Radio Malaysia telah memulakan Siaran Ibu kota pada 5 November 1973. Kajian juga sedang dibuat untuk menentukan sama ada siaran yang sama dapat diadakan di bandar-bandar besar di Malaysia di masa akan datang.

Siaran Televisyen Warna

Pada 20 Jun 1975, Siaran FM Stereo pula dilancarkan bagi memenuhi kehendak pendengar-pendengar yang meminati Siaran Stereofonik. Siaran FM yang ada sekarang dapat didengar di Selangor, di Wilayah Persekutuan, Pahang Barat, Selatan Perak dan sebahagian dari Negeri Sembilan. Untuk memberi perkhidmatan yang lebih bermutu kepada orang ramai, Jabatan Penyiaran menerusi TV Malaysia telah memulakan siaran warna pada 28 Disember, 1978 melalui Rangkaian Nasional dan Pertama setelah 15 tahun TV Malaysia dilancarkan. Ini diikuti oleh Rangkaian Kedua pada 7 Mei 1979 dan Rangkaian Ketiga pada 31 Ogos 1980.

Siaran TV warna ini telah mencapai kejayaan yang lebih tinggi dari yang dijangkakan mengikut perancangan asalnya. Peratus siaran warna kini ialah 87 % melalui Rangkaian Nasional dan Pertama, 67% Rangkaian Kedua dan 50% Rangkaian Ketiga. Peratusan ini telah melebihi dari peratus yang dirancangkan mengikut perancangan asal di mana hanya pada tahun 1985 ia dijangkakan akan mencapai 80%.

Hari ini kedua-kedua media Radio dan TV Malaysia menjadi media kerajaan yang terpenting untuk menerangkan dan memberi liputan yang seluas-luasnya mengenai segala dasar dan rancangan kerajaan di samping memberi hiburan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard