durbar_pertama-800px
Sejarah

Penubuhan Majlis Persekutuan

20 Oktober 1909 – Pada tahun 1909, satu persetujuan telah dicapai antara Pesuruhjaya Tinggi Negeri-negeri Melayu Bersekutu dengan Raja-raja Negeri-negeri Melayu Bersekutu untuk membentuk Majlis Persekutuan, iaitu setelah termeterinya Perjanjian Perlembagaan Majlis Persekutuan.

Pada tahun 1896 kerajaan Inggeris di dalam usahanya menguasai pentadbiran negeri-negeri Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan telah menukarkan corak pentadbirannya dari sistem Residen telah mengurangkan dan melemahkan lagi kuasa Sultan-sultan dan Majlis-majlis Negeri. Ia hanya menguntungkan pihak Inggeris dari segi ekonomi.

Pada tahun 1903, di dalam Majlis Durbar yang telah diadakan di Kuala Lumpur, Sultan Perak iaitu Sultan Idris telah menyuarakan bantahan baginda mengenai penubuhan Persekutuan dan meminta supaya dapat diadakan satu Majlis Persekutuan yang longgar.

Sultan Idris membidas kerajaan Inggeris bahawa kuasa yang sebenarnya sekarang berada di tangan Residen Jeneral dan meminta agar kuasa tersebut dilonggarkan.

Tujuan utama Majlis Raja-raja menyuarakan bantuan tersebut adalah untuk menguatkan semula Kerajaan-kerajaan Negeri, Majlis-majlis Negeri dan mengukuhkan kedudukan Sultan-sultan.

Kerajaan Inggeris di Tanah Melayu pada awal kurun ke-20 itu sedang mengembangkan pengaruhnya terhadap Negeri-negeri Utara Tanah Melayu berusaha untuk menarik minat Negeri-negeri Utara Tanah Melayu terhadap pihak Inggeris.

Ekoran daripada bantahan Sultan Idris dan desakan Sultan-sultan Negeri-negeri Melayu Bersekutu maka pada hari ini dalam tahun 1909, John Anderson, Pesuruhjaya Tinggi Inggeris dan Sultan-sultan Negeri-negeri Melayu Bersekutu telah mencapai persetujuan untuk membentuk Majlis Persekutuan yang bertujuan untuk membahagikan kuasa pentadbiran (desentralisasi).

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard