mageran-800px
Sejarah

Penubuhan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN)

16 Mei 1969 – Penubuhan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) pada tahun 1969 bertujuan untuk menangani permasalahan yang timbul ekoran tercetusnya Tragedi 13 Mei 1969. Tun Abdul Razak telah dilantik sebagai Pengarah MAGERAN dengan ahli-ahlinya terdiri daripada Tun Dr. Ismail, Tan Sri Ghazali Shafie, Tunku Osman Mohd. Jewa, Tan Sri Mohamad Salleh, Leftenan Dato’ Ibrahim Ismail, Presiden MCA dan Presiden MIC.

Pada dasarnya fungsi MAGERAN ialah untuk mengawal ketenteraman, mempastikan kelicinan pentadbiran negara dan mengawal keadaan harmoni serta saling mempercayai di kalangan rakyat pelbagai kaum. Dua permasalahan utama yang perlu diselesaikan oleh MAGERAN ialah masalah perpaduan kaum dan ketidakseimbangan ekonomi antara kaum.

Berikutan daripada itu, Majlis Perundingan Negara dan Jabatan Perpaduan Negara telah ditubuhkan pada tahun 1970. Beberapa dasar penting telah diwujudkan antaranya Akta Hasutan, Rukun Negara dan Dasar Ekonomi Baru yang telah dirangka dan dilancarkan pada Januari 1971 untuk membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum serta menyusun semula masyarakat.

Penubuhan Majlis Gerakan Negara telah memberikan sumbangan yang besar dalam memulihkan perpaduan di kalangan rakyat sehingga kemerdekaan negara dapat dipertahankan hingga kini.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard