tree-800px
Sejarah

Pengurnian Surat Keterangan Memungut Cukai Di Ulu Pahang Dalam Tahun 1859

30 Disember 1859 – Sultan Pahang Sultan Mahmud Al-Muzaffar Shah telah mengurniakan Surat Keterangan memungut cukai kepada Mandara Lubuk Setia Raja atau Tok Lubuk dari daerah Gali. Surat Keterangan ini merupakan surat kuasa untuk memungut cukai di daerah Gali. Surat ini telah disampaikan oleh wakil Sultan, Tengku Embong ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Shah dan En. Wan Long ibni Dato Bendahara Seri Maharaja kepada Mandara Lubuk Setia Raja.

Dengan adanya Surat Keterangan ini membolehkan Mandara Lubuk Setia Raja memungut cukai di daerahnya. Cukai yang dipungut dari daerah ini akan diserahkan kepada Sultan melalui Orang Kaya Maharaja Perba Jelai. Sistem pungutan cukai ini merupakan sistem yang diikuti oleh kerajaan negeri Pahang sejak zaman dahulu.

Campur Tangan British

Tetapi setelah British campurtangan di Pahang pada tahun 1888 sistem pungutan cukai oleh Pembesar-pembesar Pahang cuba dihapuskan. Sebaliknya mereka perlu membayar cukai kepada Kerajaan British melalui Pemungut Cukai dan Majestret (Collector and Magistrate) yang berkuasa sebagai Pegawai Daerah. Kerajaan British telah mendapat tentangan hebat dari Pembesar-pembesar Pahang seperti Datuk Bahaman, Tok Gajah dan beberapa orang lagi.

Sesungguhnya pengurniaan Surat Keterangan oleh Sultan kepada Pembesar-pembesar adalah merupakan satu penghormatan dan pemberian kuasa ke atas daerah-daerah tertentu untuk memungut hasil mahsul negeri. Segala hasil cukai akan diserahkan kepada orang-orang Besar Pahang dan seterusnya diserahkan kepada Sultan Pahang.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard