sang_saka_bangsa-800px
Sejarah

Pengesahan Bendera Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO)

27 Julai 1946 – Pada tahun 1946, Bendera Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) telah disahkan dengan rasminya sebagai bendera tunggal bagi UMNO. Pengesahan ini telah dibuat di dalam Majlis Mesyuarat Agong UMNO ke 3 di Pulau Pinang.

Di Mesyuarat Agong itu diadakan istiadat menaikkan Bendera UMNO oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Kedah, Sultan Tunku Sir Badlishah Ibni Almarhum Sultan Abd. Hamid Shah tepat pada jam 10.00 pagi di hadapan bangunan Sekolah Francis Light dimana mesyuarat itu diadakan.

Bendera Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu telah dibincangkan secara khusus di Majlis Mesyuarat Agong UMNO ke 2 yang telah diadakan di Ipoh, Perak pada 29 Jun hingga 30 Jun 1946.

Berbagai contoh telah dikemukakan oleh wakil-wakil Persatuan Melayu dari seluruh negeri-negeri Melayu termasuk contoh dari wakil Persatuan Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang mengesyorkan Bendera PKMM Sangkakala Merah-Putih untuk dijadikan Bendera UMNO.

Sang Saka Bangsa

Sang Saka Bangsa

Hasil dari pengundian dan sokongan, Majlis dengan sebulat suara bersetuju memilih satu corak yang dikemukakan oleh perwakilan UMNO dan menentukan peraturan-peraturan yang ditetapkan sebagai peraturan IV Piagam 1946 iaitu :-

  1. Bendera UMNO hendaklah berwarna merah dan putih yang sama besar. Warna merah di sebelah atas manakala warna putih di sebelah bawah. Di tengah-tengahnya terdapat satu bulatan berwarna kuning di dalam bulatan itu terdapat sebilah keris tujuh luk berwarna hijau. Hujung matanya menghala ke bawah penjuru kanan.
  2. Bendera UMNO adalah berukuran 183 cm panjang dan 122 cm lebar. Keluasan bulatan ialah 61cm dan keris 50.8 cm panjang. Jarak hulu dan hujung keris dengan garisan bulatan ialah 5.08 cm.
  3. Bendera UMNO dimuliakan pada bila-bila masa
  4. Bendera UMNO dikibarkan ditempatkan yang mudah dilihat.
  5. Tempat-tempat utama bendera dikibarkan ialah di Dewan-dewan persidangan tatkala mesyuarat sedang berlangsung dan di Pejabat Setiausaha Agong UMNO, di pejabat ahli-ahli UMNO dan juga boleh dikibarkan oleh ahli-ahli UMNO dengan mengikut peraturan-peraturan yang ditetapkan.

Setiap corak Bendera UMNO mempunyai lambang yang tertentu iaitu warna merah melambangkan keberanian, warna putih bererti bersih, kuning melambangkan kebesaran raja, hijau bererti pegangan kepada agama Islam dan keris melambangkan pusaka Bangsa Melayu.

Bendera UMNO adalah lambang penyatuan dan perpaduan bangsa Melayu semenjak UMNO ditubuhkan pada 11 Mei 1946 hinggalah ke hari ini.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard