Sejarah

Penawanan Jambatan Bandar Melaka Oleh Portugis

08 Ogos 1511 – Pada tahun 1511, angkatan perang Portugis yang diketuai oleh Alfonso de Albuquerque berjaya menawan jambatan Bandar Melaka yang menghubung kedua-dua bahagian bandar Melaka itu.

Melaka pada masa ini diperintah oleh Sultan Mahmud merupakan sebuah empayar yang agung dan pusat perdagangan yang berjaya. Penduduknya dianggarkan seramai 200,000 orang dengan jumlah askar 20,000 orang.

mallaca fort gate

Sebelum jambatan penting ini ditawan, de Albuquerque yang datang dengan 18 buah kapal perang dan 1500 orang askar lengkap dengan senjata moden meminta Sultan Mahmud membebaskan beberapa orang Portugis yang ditawan oleh Melaka sebelum ini, walau bagaimanapun permintaan itu ditolak.

Tentera Portugis dengan bantuan saudagar Cina telah berusaha untuk menawan bandar Melaka dan untuk tujuan itu jambatan yang membahagikan Melaka perlu dikuasai terlebih dahulu.

Serangan hebat oleh tentera Portugis terhadap Melaka telah berjaya menawan jambatan Bandar Melaka tersebut, dan Melaka kini jatuh ke tangan penjajahan Portugis.

Sultan Mahmud melarikan diri ke Pahang dan anakandanya Sultan Ahmad melarikan diri ke Muar.

Kejatuhan Melaka ke tangan Portugis pada hari ini dalam tahun 1511 menandakan berakhirnya zaman Kesultanan Melayu Melaka, serta merupakan titik bermulanya penjajahan barat di Melaka.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard