mohor_syarikat_hindia_timur_inggeris-800px
Sejarah

Pemindahan Kuasa Negeri-Negeri Selat Dari India Ke Pejabat Tanah Jajahan Di London

01 April 1867 – Pada tahun 1867, Pejabat Tanah Jajahan London telah mengambil alih pentadbiran Negeri-negeri Selat yang terdiri daripada negeri Melaka, Singapura dan Pulau Pinang. Pemindahan kuasa ini adalah lanjutan daripada permintaan dan rayuan yang telah dikemukakan di Parlimen London oleh Pedagang-pedagang Negeri Selat yang tidak berpuas hati dengan sistem pentadbiran Syarikat Hindia Timur Inggeris yang berpusat di Calcutta, India.

Laporan Mills mendakwa mengenai kelemahan pihak pentadbir dan kekurangan wakil pihak pemerintah yang boleh berhubung dengan orang-orang tempatan serta ketidakcekapan Kerajaan di India yang tidak menitikberatkan masalah-masalah yang dihadapi oleh Negeri-negeri Selat.

Pedagang-pedagang di Negeri-negeri Selat tidak berpuas hati dengan tindakan Kerajaan India yang telah menguatkuasakan undang-undang mata wang dan menghantar orang-orang dari India ke Negeri-negeri Selat . Ketidakpuasan ini semakin meluas apabila Kerajaan India berhasrat untuk mengenakan cukai ke atas pelabuhan bebas yang diamalkan oleh Negeri-negeri Selat untuk mengatasi masalah ekonomi yang buruk. Mereka mendakwa perkhidmatan yang direncanakan bagi Negeri-negeri Selat tidak memuaskan dan mendapati satu pengabaian dan penyelewengan telah berlaku. Setiap undang-undang yang diluluskan oleh Kerajaan India tidak bersesuaian dengan keadaan Negeri-negeri Selat manakala pegawai-pegawai untuk menguruskan hal pentadbiran Negeri-negeri Selat tidak berpengalaman.

Pada tahun 1857, satu pemberontakan (Indian Mutiny) telah berlaku di India dan mengakibatkan Syarikat Hindia Timur Inggeris menjadi muflis. Keadaan ini memberi kesempatan kepada golongan Pedagang-pedagang untuk membuktikan kelemahan pentadbiran India. Kelemahan dan masalah mereka telah dibawa ke Parlimen Inggeris oleh Lord Bury pada 13 April 1858. Memorandum mengenainya diserahkan kepada Lord Stanley, Setiausaha Kerajaan India.

Pada 10 Ogos 1866, Akta bagi memindahkan pentadbiran Negeri-negeri Selat ke Pejabat Tanah Jajahan diluluskan dan ini meletakkan Negeri-negeri Selat secara langsung di bawah pentadbiran Pejabat Tanah jajahan Inggeris di London. Upacara rasmi penubuhan Negeri-negeri Selat sebagai Koloni Inggeris yang baru berlangsung pada hari ini dalam tahun 1867, di Dewan Bandaraya Singapura dengan Sir Harry St. George Ord dilantik sebagai Gabenornya yang pertama dan berpejabat di Pulau Pinang.

Dengan pemindahan kuasa ini maka tamatlah pentadbiran Syarikat Hindia Timur Inggeris ke atas Negeri-negeri Selat yang telah bermula sejak tahun 1826.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard