angkasapuri_70_800px
Sejarah

Pembukaan Pusat Penyiaran Malaysia Angkasapuri

17 Februari 1968 – Pusat Penyiaran Malaysia yang diberi nama “Angkasapuri” dibuka dengan rasminya oleh Perdana Menteri Malaysia, Tunku Abdul Rahman. Bangunan Pusat Penyiaran yang bernilai $35 juta ini diilhamkan oleh Tunku semasa beliau menjadi Menteri Penerangan dan Penyiaran.

Upacara perletakan batu asas Angkasapuri telah disempurnakan oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra pada 12 Disember 1966. Kerja-kerja pembinaan Angkasapuri dimulakan pada bulan Disember 1966 oleh sebuah firma Kanada N.J Pappas & Associates.

angkasapuri

Foto : Arkib Negara

Kompleks Angkasapuri terletak di Bukit Putra. Bangunan 10 tingkat ini didirikan di atas kawasan seluas 33 ekar dan menghadap ke Lebuhraya Persekutuan yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan Petaling Jaya. Tujuh tingkat daripadanya dikhaskan bagi kegunaan pejabat. Setiap tingkat mempunyai keluasan 11,000 kaki persegi.

Kerja-kerja pentadbiran dan perancangan untuk penerbitan dan penyiaran dilakukan di bangunan utama Angkasapuri . Kerja-kerja penerbitan dan penyiaran pula dilakukan pada sebuah bangunan dua tingkat yang terletak di sebelah selatan. Pada banggunan ini terdapat beberapa buah studio rakaman dan bilik penyiaran yang digunakan untuk menerbitkan dan menyiarkan rancangan-rancangan televisyen.

Kedua-dua blok bangunan tujuh tingkat (Bangunan Pentadbiran) dan dua tingkat (Bahagian Penerbitan dan Penyiaran) ini dihubungkan oleh sebuah anjung dan sebuah balai sambutan untuk menjadi sebuah kompleks penyiaran yang terbesar di Asia Tenggara.

Sejarah Awal Penyiaran Malaysia

Sejarah penyiaran negara bermula apabila Persatuan Wayarles Tanah Melayu di Kuala Lumpur memulakan siarannya di Bukit Petaling pada tahun 1930. Dari situ ia berpindah ke Bangunan Guthric dan kemudian ke Bangunan Oriental di Jalan Tun Perak. Selepas itu ia berpindah ke Hospital Tang Lin dan akhirnya ke Rumah Persekutuan, Jalan Raja, Kuala Lumpur selama kira-kira 15 tahun sebelum berpindah ke Angkasapuri.

Televisyen Malaysia pula pada awalnya ditempatkan di Studio sementara di Dewan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. Ia memulakan siarannya pada 28hb Disember 1963. Televisyen Malaysia dipindahkan ke Angkasapuri pada 6hb November 1969.

angkasapuri kuala lumpur

Peringkat kedua projek Pusat Penyiaran ini selesai dilaksanakan dalam tahun 1972, apabila Bangunan Radio (Wisma Radio) siap dibina dan memulakan siarannya tepat jam 12.00 tengah malam pada 9hb Mei, 1972.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard