big_tree_mckk-800px
Sejarah

Pembukaan Kolej Melayu Kuala Kangsar

02 Januari 1905 – Pembukaan Kolej Melayu Kuala Kangsar merupakan cadangan daripada R.J. Wilkinson, pegawai pendidikan jajahan pada masa itu. Sekolah ini dikenali sebagai Malay Residential School ditubuhkan sebagai sekolah percubaan. Cadangan itu disokong oleh Sultan Perak, Sultan Idris Murshidul Azam Shah I, Sultan Selangor Sultan Alaiddin Sulaiman Shah, Yamtuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhammad Shah dan Sultan Pahang Sultan Ahmad Mu’adzam Shah.

Di antara guru-guru yang pernah mengajar di Maktab ini ialah Mr. William Hargreaves, Mr. Rolands dan Mr. Vanreuman. Pada tahun 1907 terdapat kira-kira 70 orang pelajar yang dibahagikan kepada beberapa kelas. Guru Besar, Mr. William Hargreaves mengajar kelas 6 dan 7, Mr. Roland mengajar kelas 3, 4 dan 5 manakala Mr. Vanreuman mengajar kelas 1, 2 dan 3. Mr. Vanreuman kemudiannya digantikan oleh Cikgu Ab. Majid bekas pelajar sekolah ini pada tahun 1918.

Sejarah Awal Pembukaan

Pada peringkat permulaannya, murid-muridnya adalah seramai lapan orang dan bertambah kepada 63 orang menjelang bulan Mac. Sehingga penghujung tahun 1905 terdapat seramai 79 orang murid di sekolah tersebut.

Tujuan asal penubuhan sekolah khas ini ialah bagi melatih anak-anak kerabat diraja dan pembesar-pembesar Melayu serta memberi pelajaran dan latihan bagi mengisi jawatan-jawatan dalam perkhidmatan Kerajaan British di Tanah Melayu.

Pada tahun 1909, bangunan utama sekolah yang dinamakan `Big School’ telah siap dibina dengan berbagai kemudahan disediakan seperti berek guru, asrama pelajar, padang permainan dan lain-lain di kawasan seluas 30-40 ekar. Pembukaan rasmi bangunan sekolah yang baru ini dilakukan oleh Sultan Idris pada 11 Disember 1909 dan pada hari ini juga nama `Malay Residential School’ ditukar kepada ‘Malay College Kuala Kangsar’ (MCKK).

malay_collage_kuala_kangsar_800

Penambahan Banggunan

Bangunan Big School yang dibina pada 1909 adalah binaan yang menjadi identiti sekolah ini, bercirikan senibina Greco-Roman terletak berhadapan padang ragbi. Pada 1913 bangunan Prep School dibina untuk menampung pertambahan pelajar.

Pada tahun 1955, bangunan West Wing dan East Wing ditambah. Pada tahun yang sama, Blok Pentadbiran dan Menara Jam juga ditambah dan dibuka oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaya Donald MacGillivray. Seterusnya pada tahun 1963 asrama tambahan, Pavilion dan pada tahun 1972, Asrama Baru (New Hostel) dibina.

Mercu Tanda

Satu lagi mercu tanda utama sekolah ini ialah Big Tree, sebatang pokok hutan hijau (Samanea saman) yang terletak di hadapan East Wing. Pokok ini dikatakan berusia lebih tua daripada bangunan itu sendiri.

Menjelang kemerdekaan MCKK telah menyumbangkan banyak jasa baktinya dan melahirkan ramai pemimpin-pemimpin negara yang berkaliber seperti Allahyarham Tun Hj. Abd. Razak, Allahyarham Raja Tun Uda, Allahyarham Tan Sri Nik Ahmad Kamil dan lain-lain lagi. Selepas merdeka, MCKK terus memainkan peranannya dalam usaha mendidik dan mengeluarkan cendekiawan Melayu dan ramai di antara lepasan MCKK memegang berbagai jawatan penting Kerajaan sehingga kini.

 Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard