1st_malaysian_everest-800px
Sejarah

Pasukan Pendaki Malaysia Berjaya Menawan Gunung Everest

23 Mei 1997 – Pada tahun 1997, Malaysia telah mencatat satu lagi sejarah apabila Pasukan Pendaki Gunung Everest negara telah berjaya menawan puncak gunung Everest. Malaysia merupakan negara ke-21 yang telah berjaya sampai ke puncak Everest setinggi 8848 meter atau 29 000 kaki. Ekspedisi mendaki Gunung Everest ini terdiri daripada 23 orang, namun hanya dua orang sahaja yang telah berjaya sampai ke puncak iaitu M. Magendran dan N. Mohandas.

Majlis sambutan kepulangan wira-wira Everest ini telah diadakan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, Subang, Selangor pada 3 Jun 1997, turut serta pada majlis sambutan tersebut ialah Menteri Belia dan Sukan, Y.B. Tan Sri Muhyiddin Yassin. Majlis pelancaran Projek Mendaki Gunung Everest ini telah dilancarkan pada 14 Februari 1988 oleh Y.B. Datuk Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak.

Projek Everest ini merupakan ilham Perdana Menteri, Y.A.B. Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad bertujuan untuk mendorong rakyat Malaysia berusaha mencapai kejayaan yang cemerlang. Projek ini dikendalikan secara kerjasama di antara Kementerian Belia dan Sukan dengan Persatuan Pendaki Malaysia serta RTM yang telah memberi liputan harian sepanjang tempoh 55 hari ekspedisi ini.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard