reedy-800px
Sejarah

Panglima Muda Jempol Menyerang Pekan

05 April 1892 – Pada tahun 1892, Panglima Muda Jempol telah menyerang daerah Pekan di negeri Pahang. Peristiwa itu merupakan salah satu episod dalam pemberontakan Pahang yang bermula dalam tahun 1891 yang dipimpin oleh salah seorang pembesar Pahang iaitu Pahlawan Semantan atau Dato’ Bahaman. Dalam kekacauan yang berlaku ketika Panglima Jempol menyerang Pekan, dua orang pekerja Eropah dari Syarikat Pahang Exploration yang sedang menguruskan pengeluaran kayu balak dari hutan Sungai Duri dekat Kuala Chini telah terbunuh.

Berita berkenaan serangan itu telah sampai ke pengetahuan Residen Pahang, J.P. Rodger yang ketika itu berada di Pulau Tawar. Beliau dengan pengikutnya telah pergi ke Pekan dan menahan seorang daripada mereka yang disyaki terlibat dalam serangan tersebut. Seterusnya pihak Inggeris juga telah menangkap seramai 21 orang lagi yang disyaki terlibat dalam kejadian tersebut. Bagaimanapun Panglima Muda Jempol dapat melepaskan diri.

Akibat dari serangan itu pihak Inggeris telah berusaha memperkuatkan pertahanan mereka dengan mendirikan satu pusat kawalan di Kuala Jempol. Pada bulan Julai 1892 pihak Inggeris telah menghantar sepasukan polis Sikh ke Jempol untuk mengekori Panglima Muda Jempol tetapi gagal sehinggalah pada bulan Oktober 1892 apabila Panglima Muda Jempol akhirnya terkorban dalam satu pertempuran dengan pihak Inggeris.

Walaupun Panglima Muda Jempol telah tewas, pemberontakan Pahang berterusan sehingga bulan November 1895 apabila enam orang pahlawan Pahang iaitu Dato’ Bahaman, Awang Nong, Teh Ibrahim, Haji Mat Wahit dan Mat Lela telah menyerah diri kepada Kerajaan Siam. Rasu dan Mat Kilau pula dilaporkan telah meninggal dunia di Terengganu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard