un_flag-800px
Sejarah

Malaysia Menandatangani Dua Perjanjian Dengan Bangsa-Bangsa Bersatu

10 Mei 1968 – Pada tahun 1968, kerajaan Malaysia menandatangani dua perjanjian dengan Bangsa-bangsa Bersatu. Perjanjian Bantuan Gerakan, dan Perjanjian Rancangan Makanan Dunia. Perjanjian tersebut telah ditandatangani di Bilik Gerakan Negara dan Luar Bandar, Kuala Lumpur.

Malaysia telah diwakili oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Tunku Mohamed bin Tunku Besar Burhanuddin, dan wakil Rancangan Kemajuan Bangsa-bangsa Bersatu ialah Encik David Blickenstaff.

bangsa-bangsa bersatu

Mengikut kenyataan Tan Sri Mohamad, Kerajaan telahpun memulakan langkah untuk melatih pegawai-pegawai bagi menjawat jawatan eksekutif. Beliau percaya dengan adanya Perjanjian Bantuan Gerakan dari Bangsa-bangsa Bersatu dapat membantu mempercepatkan pencapaian tujuan itu. Encik Blickenstaff juga menegaskan bahawa Bangsa-bangsa Bersatu akan membantu Malaysia mengadakan wang tambahan bagi gaji pakar-pakar yang diambil berkhidmat di negara ini.

Pakar Bangsa-bangsa Bersatu yang pertama diambil untuk berkhidmat sebagai pegawai kerajaan mengikut Perjanjian Bantuan Gerakan ialah Encik Donald R. Massy Collier. Beliau ditawarkan jawatan Pengarah Eksekutif Rancangan Jengka Tiga Segi FELDA di kawasan seluas 150,000 ekar tanah di Pahang. Menurut Perjanjian Rancangan Makanan Dunia, bekalan makanan yang bernilai 2.8 juta ringgit akan diperolehi lagi. Bekalan makanan tersebut diberikan untuk kegunaan Institut Teknologi MARA iaitu selama lima tahun.

Bangsa-bangsa Bersatu juga sedang mempertimbangkan permohonan Malaysia untuk mendapatkan bantuan bekalan makanan bagi kemajuan tanah FELDA yang telah dilancarkan di negara ini.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard