majlis_amanah_raya
Sejarah

Majlis Amanah Rakyat (Mara) Ditubuhkan

01 Mac 1966 – Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah ditubuhkan sebagai sebuah badan berkanun di bawah Akta MARA 1966. Objektif utama penubuhan MARA adalah untuk menambah dan meningkatkan penyertaan kaum Bumiputera dalam kegiatan perdagangan dan perindustrian serta meningkatkan taraf ekonomi dan sosial Bumiputera sejajar dengan Dasar Ekonomi Baru.

Ini dilakukan dengan menggalak, membimbing, melatih dan membantu Bumiputera dalam kegiatan perdagangan dan perusahaan ke arah pembentukan masyarakat peniaga Bumiputera yang berjaya.

Penubuhan MARA adalah berasaskan cetusan idea dalam Kongres Ekonomi Bumiputera Pertama yang telah diadakan pada tahun 1965 di Kuala Lumpur. Melalui Kongres tersebut, resolusi yang mahukan agar RIDA disusun semula telah diluluskan. RIDA atau Rural and Industrial Development Authority ditubuhkan pada tahun 1953 bagi membangun dan memajukan masyarakat di kawasan luar bandar.

majlis_amanah_raya_logo

Sejak penubuhannya banyak pembangunan dan kemajuan telah dicapai oleh MARA. Penguasaan ekonomi Bumiputera menjadi cabaran masa kini dan agenda utama MARA dalam usaha untuk memastikan Bumiputera mempunyai kedudukan yang sewajarnya.

MARA, sebuah badan autonomi bertanggungjawab kepada Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah. Ahli-ahli Majlis MARA terdiri daripada Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Ketua Setiausaha dan lapan orang anggota lain, dua daripada mereka adalah kakitangan awam. Semua Ahli Majlis dilantik oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah.

Intitusi Pendidikan Di Bawah MARA

  • Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), diwujudkan bagi pelajar bumiputera yang berumur 13-17 tahun yang mempunyai keputusan peperiksaan awam yang cemerlang
  • Kolej MARA , diwujudkan bagi pelajar bumiputera untuk melanjutkan pelajaran bagi peringkat pra-universiti seperti IB, A-level, program matrikulasi KPM dan asasi Universiti.
  • Kolej Profesional MARA (KPM) , diwujudkan bagi pelajar bumiputera untuk melanjutkan pelajaran dalam diploma dan high national diploma(HND).
  • GiatMARA
  • Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM)
  • Institut Kemahiran MARA (IKM)
  • German-Malaysian Institute (GMI)
  • Universiti Kuala Lumpur(UniKL) , sebuah institut pengajian tinggi swasta.
  • Kolej Poly-Tech MARA (KPTM)
  • Universiti Teknologi MARA (UiTM), atau dahulunya Institut Teknologi MARA (ITM) – Kini diambil alih oleh Kementerian Pendidikan dan kemudian Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard