telegraf-800px
Sejarah

Litar Telegraf Pertama Di Negeri-Negeri Melayu

16 April 1876 – Pada tahun 1876, Perhubungan telekomunikasi pertama telah diadakan dengan pemasangan litar telegraf pertama di Kuala Kangsar, Perak. Litar sepanjang 39.2 kilometer ini telah dipasang bagi menghubungkan Pejabat Residen British di Kuala Kangsar dan Pejabat Penolong Residen di Taiping terus ke Pejabat Majistret di Matang. Penggunaan litar telegraf ini diperlukan untuk membantu mempercepatkan Residen dalam mengendalikan urusan pentadbirannya serta menyokong pembangunan kegiataan ekonomi yang berkembang pesat di Taiping pada ketika itu.

Berikutan daripada pengenalan talian telegraf pertama ini, Jabatan Pos dan Telegraf telah diwujudkan pada tahun 1882 dan diletakkan di bawah kawalan juruaudit negeri. Lanjutan daripada itu juga sistem perhubungan dan telekomunikasi telah berkembang lagi dengan pemasangan ibusawat pertama di Kuala Lumpur pada tahun 1891.

Pada tahun 1930 ibusawat automatik telah diperkenalkan bagi memenuhi keperluan pelanggan yang semakin bertambah dan ianya telah ditempatkan di bangunan Ibusawat Melayu Telefon di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur sekarang.

Sistem telekomunikasi negara telah berkembang dengan pesatnya selepas negara mencapai kemerdekaan sejajar dengan pembangunan dan perkembangan dunia telekomunikasi.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard