Dayabumi_Complex-800px
Sejarah

Laluan Pejalan Kaki Bawah Tanah Kompleks Dayabumi-Masjid Negara

22 November 1984 – Pada hari ini dalam tahun 1984, laluan pejalan kaki bawah tanah yang menghubungkan Kompleks Dayabumi dan Masjid Negara telah dirasmikan. Majlis perasmian telah dilakukan oleh YB Datuk Shahrir Abdul Samad, Menteri Wilayah Persekutuan.

Laluan bawah tanah melintasi Jalan Sultan Hishamuddin tersebut adalah sepanjang 43.5 meter, lebar 6.8 meter dan tingginya 3.9 meter. Untuk membina laluan bawah tanah ini kerajaan telah memperuntukkan kos sebanyak RM3.2 juta.

dayabumi-1

Sistem pembinaan laluan ini merupakan satu alternatif yang paling sesuai di samping pembinaan jejantas yang telah dilaksanakan di beberapa tempat. Di samping itu ia banyak memberi faedah kepada pejalan-pejalan kaki dan pekerja-pekerja jabatan kerajaan yang terdapat di kawasan sekitarnya.

Dalam ucapan perasmiannya, YB. Datuk Shahrir Abdul Samad menyifatkan laluan bawah tanah sebagai lambang dua aspek di antara pembangunan moden dan kepentingan syiar Islam kerana ianya menggabungkan Kompleks Dayabumi dan Masjid Negara.

Perasmian laluan bawah tanah Kompleks Dayabumi dan Masjid Negara pada hari ini dalam tahun 1984 memberi keselesaan dan kemudahan kepada orang awam di samping membantu menyelesaikan masalah kesesakkan jalan raya.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard