ktmb-800px
Sejarah

Khidmat Ekspres KTM Dari Kuala Lumpur Ke Singapura Dan Butterworth Bermula

29 Februari 1980 – Pengurus Penumpang Keretapi Tanah Melayu, Encik Zainal Abidin bin Abdul Talib, melalui satu sidang akhbar, bertempat di Ibu Pejabat Keretapi Tanah Melayu Kuala Lumpur, telah memaklumkan kepada para wartawan, bahawa Keretapi Tanah Melayu akan memulakan perkhidmatan laju antara bandar, bergelar Ekspres KTM, yang akan bertolak serentak dari Kuala Lumpur ke Singapura dan ke Butterworth pada pagi 1 Mac 1980.

Pelancaran perkhidmatan itu dirasmikan oleh Pengurus Besar Keretapi Tanah Melayu, Datuk Ishak bin Tadim. Perkhidmatan Ekspres KTM mengandungi 5 buah koc, 2 di antaranya berhawa dingin dan boleh memuatkan kira-kira 370 penumpang.

ktm_first logo

Perkhidmatan ekspres tersebut akan berlepas serentak dari Kuala Lumpur ke Singapura dan ke Butterworth pada jam 7 pagi dan dijangka tiba di Singapura pada jam 12.45 tengah hari dan di Butterworth pada jam 12.40 tengah hari.

Kedua-dua keretapi tersebut akan kembali ke Kuala Lumpur pada hari yang sama iaitu dari Singapura pada jam 1.15 petang dan dijangka tiba di Kuala Lumpur pada jam 7 malam manakala dari Butterworth pula pada jam 1.10 petang dan dijangka tiba di Kuala Lumpur pada jam 6.55 petang.

Keretapi Ekspres itu hanya akan berhenti di Ipoh bagi perkhidmatan ke Utara dan di Johor Baharu bagi perkhidmatan ke Selatan. Sesungguhnya dengan terlancarnya perkhidmatan ekspres KTM, diharap akan dapat memberi lebih keselesaan kepada para penumpang dan di samping itu, KTM diharap akan terus meningkatkan lagi mutu perkhidmatannya dengan lebih cemerlang.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard