Sejarah

Kawasan Larkin Ditukar Nama Kepada Kampong Datuk Onn

21 April 1976 – Pada tahun 1976, Menteri Besar Johor, Tan Sri Haji Osman Saat telah mengisytiharkan kawasan Larkin ditukarkan namanya kepada Kampong Datuk Onn di Johor Bahru. Pengisytiharan itu telah dibuat semasa beliau berucap di upacara perasmian Balai Raya di Jalan Sentosa di kawasan tersebut yang berharga lebih RM57,000.

Turut hadir di upacara yang gilang gemilang ini ialah Datin Hajah Halimah Hussein iaitu isteri kepada Allahyarham Datuk Onn, Perdana Menteri Datuk Hussein Onn, pegawai-pegawai kerajaan dan penduduk-penduduk di sekitar kawasan itu.

Dewan Raya Dato' Onn

Dewan Raya Dato’ Onn

Dalam ucapan perasmiannya, Tan Sri Haji Osman berkata penggunaan nama Larkin patut dihapuskan kerana nama tersebut tidak diketahui asal usul dan maknanya. Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Datin Hajah Halimah kerana memberikan kebenaran menggunakan nama Datuk Onn bagi kawasan itu.

Kawasan yang baru ditukarkan nama ini merupakan sebuah kawasan perumahan dan perindustrian yang giat membangun serta terkenal di negeri Johor. Di antara kawasan perumahan itu termasuklah Rumah-rumah Rakyat Rancangan Kerajaan Negeri di Larkin Jaya, Perumahan Taman Larkin, Kampong Kastam, Larkin Lama dan Larkin Housing and Trust.

Pengisytiharan penukaran nama kawasan Larkin kepada Kampong Datuk Onn pada hari ini dalam tahun 1976 telah mengingatkan kembali masyarakat hari ini kepada pejuang-pejuang tanah air yang telah berjasa dan terkenal di negara ini.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Standard